KUALA LUMPUR – Bank Indonesia (BI), Bank Negara Malaysia (BNM), Bangko Sentral Ng Pilipinas (BSP), Monetary Authority of Singapore (MAS) dan Bank of Thailand (BOT) memeterai persefahaman (MoU) bagi Rangkaian Pembayaran Serantau (RPC) di Bali, Indonesia, hari ini bagi mengukuhkan dan meningkatkan kerjasama rangkaian pembayaran bagi menyokong pembayaran rentas sempadan yang lebih pantas, murah, telus dan inklusif
RPC dijangka menjadi penyumbang penting dalam mempercepat pemulihan ekonomi serantau serta menggalakkan pertumbuhan yang inklusif dan pelaksanaan rangkaian pembayaran rentas sempadan ini menyokong dan meningkatkan aktiviti perdagangan, pelaburan, pengukuhan kewangan, pengiriman wang, pelancongan dan kegiatan ekonomi yang lain merentas sempadan.
Di samping itu, kerjasama ini juga berpotensi untuk menggalakkan ekosistem kewangan yang lebih inklusif di rantau ini, kata BNM dalam kenyataan dis ini.
Pelaksanaan RPC ini akan memberikan manfaat khususnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana kerana RPC akan memudahkan penyertaan mereka ke pasaran antarabangsa kerana kerjasama ini akan merangkumi beberapa modaliti, termasuk kod QR dan pembayaran pantas.
”Usaha mempercepat pendigitalan ekonomi dan kewangan telah menjadi inisiatif global dengan penetapan Roadmap for Enhancing Cross-border Payments oleh G20.
“Ia selaras dengan agenda keutamaan Presidensi G20 Indonesia dalam bidang transformasi digital, termasuk melalui sistem pembayaran dalam era digital dan ditunjukkan dengan jelas melalui usaha sama mempertingkatkan rangkaian pembayaran rentas sempadan antara Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
”Pada masa hadapan, inisiatif rangkaian pembayaran ini boleh diperluas untuk merangkumi negara-negara lain di rantau ini serta berpotensi melibatkan negara-negara dari rantau lain. Peristiwa penting ini juga menandakan titik permulaan bagi Indonesia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2023,” kata BNM.
Kerjasama ini juga menyokong aspirasi bersama ASEAN untuk mewujudkan rangkaian sistem pembayaran serantau yang akan membolehkan pembayaran rentas sempadan yang pantas, lancar dan lebih berpatutan.
Ia selaras dengan pendekatan pragmatik ASEAN untuk memperdalam integrasi melalui
pengaturan yang bermanfaat kepada semua berdasarkan tahap kesediaan, inisiatif ini akan membina asas-asas utama untuk membolehkan penyertaan yang lebih luas dari negara ASEAN lain dalam masa terdekat, sekali gus mengukuhkan lagi hubungan ekonomi serantau.
MoU itu dibuat dalam satu acara berasingan semasa Sidang Kemuncak Pemimpin G20 yang dihadiri oleh Presiden Indonesia, Joko Widodo.
Semasa ucapan pada majlis menandatangani MOU ini, Widodo menegaskan kepentingan kerjasama yang mantap dalam menangani cabaran
global.
Beliau juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kelima-lima babenor bank pusat atas komitmen mereka untuk mencapai kejayaan besar yang inovatif, yang akan mencepatkan lagi rangkaian pembayaran serantau. – MalaysiaGazette