Kehadiran Richie Huan (kiri) mendapat sambutan dalam kalangan penduduk di Parlimen Bukit Bendera.

GEORGE TOWN – Calon Barisan Nasional (BN) Bukit Bendera, Richie Huan Xin Yun tidak kisah dirinya dilabelkan berkongsi populariti bapanya bagi menawan hati pengundi untuk lebih dikenali di Parlimen ini.

Sebaliknya, anak sulung daripada dua beradik itu menyifatkan selaku Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia (PCM) sudah tentu dia mempunyai matlamat sama dengan Presiden parti, Datuk Huan Cheng Guan yang juga bapanya bagi memastikan kebajikan rakyat di sini terus dibela.

Richie Huan.

Kata pemuda berusia 33 tahun itu, meskipun pertama kali bertanding pilihan raya namun ia tidak menjadi masalah buat beliau yang sudah lama berkecimpung dalam arena politik termasuk pernah menjadi pegawai khas kepada Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Saya sudah lama bergerak dalam arena politik dan tidak timbul isu tidak matang untuk menjadi Ahli Parlimen, tambahan pula sejak kecil lagi saya sudah didedahkan dengan dunia politik susulan penglibatan bapa dalam parti politik.

“Dalam keadaan politik sekarang rakyat lebih fokus kepada apa kemampuan yang boleh dibawa calon muda bukannya soal matang dalam dunia politik atau kongsi populariti.

“Bagi saya tak salah kalau saya tanya pendapat atau kongsi pengalaman politik dengan bapa kerana beliau mempunyai pengalaman sebagai Ahli Parlimen selain lama menetap di Padang Tembak yang merupakan sebahagian daripada kawasan saya bertanding,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Walaupun hujan, jentera wanita BN tetap meneruskan program walkabout santuni penduduk di Batu Gantung bersama calon BN, Richie Huan.

Terdahulu, Richie Huan melakukan walkabout di sekitar kawasan Batu Gantung bagi menyantuni penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Untuk rekod, Parlimen berkenaan mempunyai seramai 92,611 pengundi yang mana 65,815 daripadanya adalah Cina, Melayu (13,369), India (10,889) dan lain-lain 1, 484.

Mengulas lanjut Richie Huan berkata, berdasarkan perjalanan kempennya, rata-rata penduduk kawasan tersebut memberikan respon positif dan sekali gus menunjukkan peluang tinggi untuk calon baharu merentap kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan sejak beberapa penggal.

“Ramai pengundi mendakwa mereka mahukan calon Parlimen yang tetap bukan macam prinsip Pakatan Harapan yang asyik tukar calon di sini setiap lima tahun.

Max Huan Xin Rong (tengah) turut turun padang membantu abangnya berkempen.

“Mereka (penduduk) dakwa tak sempat selesaikan sesuatu isu wakil rakyat sudah bertukar menyebabkan beberapa masalah di kawasan ini tidak diselesaikan meskipun sudah bertahun membelenggui penduduk.

“Masalah utama di kawasan ini ialah miskin bandar, banjir, tanah runtuh serta pembangunan yang tidak terkawal dan itulah yang saya akan perjuangkan nanti,” jelasnya.

Tambah Richie Huan, jika diberikan mandat dia akan memperjuangkan nasib selain membawa masalah penduduk ke peringkat Parlimen untuk mendapatkan solusi yang baik. – MalaysiaGazette