rakyat negeri sembilan
Pengunjung Pasar Malam Chembong di Rembau mengambil peluang bergambar dengan Mohamad Hasan dalam program ramah mesra, minggu lalu.

RAKYAT Negeri Sembilan menyaksikan era kestabilan dan kemakmuran sejak Datuk Seri Mohamad Hasan mula menjadi Menteri Besar pada 25 Mac 2004 sehingga 9 Mei 2018.

Sepanjang tempoh pentadbiran menjangkau tiga penggal itu, Negeri Sembilan mencatatkan pertumbuhan sosioekonomi yang pesat dan kesan positifnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.

Dari segi ekonomi, Negeri Sembilan yang sebelum itu bergantung kepada sektor pertanian untuk menjana hasil mula beralih ke sektor pembuatan. Pada 2015, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan mencatatkan jumlah yang amat memberangsangkan iaitu sebanyak RM1 bilion.

Dasar mesra perniagaan dan pelabur di bawah pentadbiran Tok Mat telah menarik minat syarikat multinasional seperti Coca-cola untuk membuka kilang pembotolan di Negeri Sembilan dan langkah ini membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.

Pada masa yang sama, peniaga-peniaga kecil tidak dilupakan di mana kerajaan Negeri Sembilan terdahulu di bawah Barisan Nasional (BN) memperkenalkan dasar permit perniagaan percuma kepada mereka.

Selain itu, Dasar Jaringan Keselamatan Sosial yang diperkenalkan pentadbiran Tok Mat telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan tegar. Pada 2016, kadar kemiskinan tegar di Negeri Sembilan hanya 0.2 peratus, lebih rendah daripada kadar 0.4 peratus di peringkat kebangsaan.

Masalah kesesakan jalan raya terutamanya di sekitar Seremban berjaya ditangani apabila Jalan Lingkaran Tengah Seremban yang menghubungkan bandar raya Seremban, Seremban 2, Rasah, Rahang dan Ampangan mula dibuka.

Pembukaan Lebuh Raya Kajang-Seremban (Lekas) menyediakan laluan alternatif dari Seremban ke Kuala Lumpur manakala jalan yang bengkang-bengkok di laluan Bukit Tangga ke Jelebu dan laluan Bukit Tangga ke Kuala Pilah telah dinaik taraf semasa zaman Tok Mat.

Rakyat Negeri Sembilan
Mohamad Hasan mencuit hati jentera BN dengan serangkap pantun yang dijualnya kepada mereka dalam program di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Repah, Tampin, semalam.

Antara infrastruktur lain yang dibina semasa zaman Tok Mat adalah Hospital Rembau, Menara Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Empangan Sungai Triang di Jelebu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Rembau, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Sendayan Tech Valley.

Mohamad amat menitikberatkan aspek pendidikan termasuk di peringkat pengajian tinggi. Pentadbirannya telah melaksanakan pemberian insentif kepada mahasiswa-mahasiswa anak Negeri Sembilan yang berjaya mendapat kepujian kelas pertama bagi pengajian ijazah sarjana muda di dalam dan luar negara.

Negeri Sembilan juga berjaya mengekalkan kedudukan di tempat kedua bagi pencapaian terbaik keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negara selama empat tahun berturut-turut mulai 2015 hingga 2018.

Kelas al-Quran dan fardu ain (KAFA) turut diperkemaskan secara lebih teratur dan sistematik melalui pelaksanaan kelas agama petang (KAP) di sekolah-sekolah rendah agar murid-murid yang beragama Islam dapat mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa.

Pendidikan untuk anak-anak kaum India dan Cina diberi perhatian melalui pembinaan sekolah-sekolah baharu seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sin Min di Kuala Sawah, SJKC Bandar Sri Sendayan, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Linsum, SJKT Ladang Bukit Bertam di Bandar Sri Sendayan dan SJKT Ladang Sagga.

Melihat kepada sumbangan besar Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi BN kepada pembangunan sosiekonomi Negeri Sembilan, maka tidak hairanlah masih ada yang menyangka beliau masih lagi bergelar Menteri Besar.

Malah, juruacara majlis kadang-kadang tersasul menyebut ‘Yang Amat Berhormat’ apabila merujuk kepada Tok Mat walaupun kini yang menyandang jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan ialah Datuk Seri Aminuddin Harun dari Pakatan Harapan (PH).

Sememangnya rekod prestasi cemerlang yang ditunjukkan oleh Tok Mat bukan sahaja boleh membantunya memenangi kerusi Parlimen Rembau, malah berupaya menghasilkan kemenangan BN di sekurang-kurangnya lima lagi kerusi iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol, Jelebu dan Port Dickson pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Rakyat Negeri Sembilan amat merindui zaman Tok Mat dan kerinduan itu boleh diubati dengan memberi mandat kepada calon-calon BN Sabtu ini.

Mandat yang diberikan rakyat kepada calon-calon BN akan memberi isyarat awal bahawa mereka ingin melihat perubahan kerajaan negeri pada pilihan raya negeri (PRN) tahun hadapan.

Tok Mat berkemungkinan besar tidak akan kembali menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan. Namun, pemimpin yang baharu dari BN mampu menyambung semula legasi kecemerlangan yang dimulakan beliau dahulu setelah ‘terbengkalai’ di bawah pentadbiran PH. – MalaysiaGazette