KUALA LUMPUR- Kerajaan Johor dan Kelantan, masing-masing hari ini mengumumkan cuti gantian pada 20 Nov (Ahad) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada Sabtu ini.
Di JOHOR, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pemberian cuti tersebut adalah atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang berkenan menggantikan hari kelepasan am Jumaat ini kepada Ahad.
“Setelah mendapat perkenan Sultan Johor, kerajaan negeri bersetuju untuk menggantikannya dengan cuti gantian pada 20 Nov ini iaitu Ahad,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi.
Di KELANTAN, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata keputusan itu dibuat selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin lepas yang mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am.
“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bersidang pada hari ini bersetuju untuk mengisytiharkan tarikh 18 dan 19 Nov 2022 (Jumaat dan Sabtu) sebagai Hari Kelepasan Am bagi seluruh negeri Kelantan.
“Memandangkan Hari Kelepasan Am tersebut jatuh pada hari Kelepasan Mingguan bagi negeri Kelantan iaitu pada Jumaat dan Sabtu, maka hari berikutnya iaitu Ahad, 20 Nov 2022, dijadikan Hari Kelepasan Am,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ahmad berkata perkara berkenaan adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 7 Tahun 1996.- Bernama