Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mencipta sejarah apabila diumumkan menduduki tangga 43 QS Asia University Ranking 2023: South Eastern Asia.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan berkata, pengiktirafan itu satu pencapaian penarafan antarabangsa di peringkat Asia Tenggara.

Beliau berkata, sebanyak 11 indikator utama diambil kira bagi menilai kedudukan berkenaan iaitu dari aspek reputasi akademik, pekerja, nisbah pelajar dan pensyarah, staf fakulti dengan PhD dan kertas penyelidikan per fakulti.

Ia termasuk sitasi per kertas penyelidikan, rangkaian penyelidikan antarabangsa, pensyarah antarabangsa, pelajar antarabangsa serta pertukaran pelajar antarabangsa.

“Pencapaian ini membuktikan bahawa UPSI komited dalam memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan dan guru yang dihasilkan di Malaysia,” katanya.

Tambah Md Amin, UPSI ketika ini juga berada di kedudukan pada 1.82 peringkat Asia dan 801-1000 dalam penarafan QS World University Ranking.

Justeru, katanya, UPSI berhasrat untuk terus komited dalam menghasilkan graduan pendidikan berkualiti selaras dengan hasrat dan keperluan negara.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Strategik, Prof Madya Dr Azmi Mohamed berterima kasih kepada semua kakitangan akademik dan bukan akademik yang memberi kerjasama baik dan komited dalam usaha melonjakkan nama UPSI menerusi QS World Ranking University itu. -MalaysiaGazette