Syaiful (barisan belakang, tengah) bersama kanak-kanak Kemas dalam program sumbangan buku bacaan Nuri.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan pembangunan pendidikan kanak-kanak mendorong Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk menyumbangkan buku sebagai bahan bacaan golongan itu.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, sebanyak 850 set buku bacaan kanak-kanak telah disumbangkan kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Selangor.

Katanya, buku bacaan berjudul Nuri sesuai dengan alam kanak-kanak yang memulakan pembelajaran pertama mereka di taman bimbingan dan asuhan kanak-kanak bawah Kemas.

“Tajuk buku ini berkisarkan persahabatan si cilik bernama Siti dengan Nuri iaitu burung peliharaannya.

“Persahabatan mereka ini secara tidak langsung menerapkan pelbagai nilai murni dalam kehidupan seharian, malah turut diselitkan dengan elemen pembelajaran seperti Sains, alam semula jadi dan budaya menabung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan buku berkenaan kepada Pengarah Kemas negeri, Mohd Ali Hanafiah Abu Hassan.

Turut hadir, Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman.

Menurut Syaiful Rizal, penghasilan buku bacaan itu adalah kesinambungan daripada siri animasi “Nuri The Series” yang telah dibangunkan oleh pelajar Diploma Kemahiran di bawah tajaan YBR.

Kata beliau, siri animasi itu dibiayai sepenuhnya YBR dalam membuka peluang pekerjaan dan pendedahan kepada mereka selepas menamatkan pengajian.

Syaiful Rizal menyerahkan buku Nuri kepada Mohd Ali Hanafiah (kiri).

“Buku yang kami sumbangkan ini juga salah satu inisiatif YBR dalam menyumbang kepada masyarakat.

“Kita harap buku ini bukan hanya memberi manfaat kepada kanak-kanak di alam tadika, malah dijadikannya sebagai salah satu material dalam sesi pengajaran guru.

Kata Syaiful Rizal, selain misi membantu meningkatkan sosio-ekonomi melalui pendidikan, beliau turut berpendapat inisiatif seperti itu termasuk sebahagian dalam kategori asnaf fisabilillah iaitu jihad dengan tangan, tenaga, harta dan lisan, di mana YBR memfokuskan melalui bantuan pendidikan dan pembelajaran.

“Memahami kesulitan dihadapi, kita akan berusaha untuk mengenalpasti lebih ramai lagi mereka yang memerlukan dalam menyalurkan bantuan bagi mengurangkan bebanan ditanggung, di samping meningkatkan aktiviti kemasyarakatan serta pendidikan negara.

“Pada tahun ini, YBR telah memperuntukkan kira-kira RM900,000 bagi pemberian sumbangan membantu mereka kurang bernasib baik serta tujuan meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya. – MalaysiaGazette