Hamzah Zainudin

PUTRAJAYA — Perikatan Nasional (PN) bertanding di Kelantan dan Terengganu menggunakan logo Pas adalah satu strategi, bukan kerana tidak yakin, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau membidas kenyataan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa Pas tiada niat untuk membentuk kerajaan dengan PN berikutan Pas bertanding di Kelantan, Terengganu dah Kedah menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Hamzah, PN memilih untuk menggunakan strategi yang lebih menguntungkan parti mengikut kawasan kerana itu yang lebih penting pada PRU ini.

“Rafizi kena faham kita ada strategi, bukan tak yakin. Kita (PN) mengikut strategi yang mana lebih menguntungkan kita.

“Kita (gabungan PN) berbincang kalau pilih ini apa yang jadi, kalau pilih itu apa yang jadi. Dalam pilihan raya ini, itu (memilih strategi menguntungkan parti) adalah lebih penting” katanya pada sidang media selepas hadir ke Majlis Perbaridan Tamat Latihan Pegawai-Pegawai Kadet Imigresen Gred KP41 dan KP49 Siri 1 Tahun 2022, di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, hari ini.

Tambah Hamzah yang juga calon PN di Parlimen Larut, gabungan itu menggunakan logo Pas juga adalah kerana majoriti rakyat Kelantan dan Terengganu yang sudah terbiasa dengan logo itu.

Malah katanya, jika mahu memperkenal logo PN di sana (Kelantan dan Terengganu), ia akan mengambil masa.

“Majoriti rakyat yang berada di Kelantan, Terengganu ini sudahpun mengamalkan itu (logo Pas) dan kebanyakkan daripada pengundi adalah warga emas. Kita nak melancarkan logo PN akan mengambil masa.

“Kerana persediaan antara kita (PN) dan Pas ini berlaku ketika mana kita sedang membincangkan dari segi kerjasama di peringkat bawahan. Sebab itu bila dah sampai masa, kita rasa mungkin tak dapat kita menggabungkan jentera di kawasan Kelantan dan Terengganu secepat mungkin” katanya Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Kata Hamzah lagi, tidak salah pun menggunakan logo PAS. Lebih baik berbincang strategi untuk, daripada mengaku PN tidak yakin.

Sebelum ini MalaysiaGazette melaporkan Rafizi mendakwa Pas yang berada dalam PN tidak berminat untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ia kerana Pas tidak yakin PN yang dianggotai Bersatu dapat membentuk kerajaan pasca PRU15.

Kata Rafizi, Pas tiada niat untuk menang dan bentuk kerajaan dengan PN kerana tahu PN tidak berkemampuan untuk membentuk kerajaan.

Dakwaan itu dikeluarkan berikutan Pas bertanding di Kelantan, Terengganu dah Kedah menggunakan logo sendiri. -MalaysiaGazette