Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman.

KUANTAN – Siapa pun yang akan menerajui kepimpinan Pahang, kerajaan negeri perlu menjadikan agenda dakwah sebagai teras agama.

Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, kepimpinan kerajaan negeri ini wajar mengambil contoh akhlak Rasulullah SAW sebagai kepimpinan.

“Siapa pun atau parti mana yang mentadbir negeri ini mengharapkan kerajaan yang akan datang meningkatkan dakwah kepada yang bukan Islam supaya kita bersatu hati.

“Kita mengharapkan keputusan daripada pilihan raya ini memberi peluang kepada orang Islam memerintah bukan daripada orang kafir atau pihak yang bersama kafir.

“Kita adalah sebuah negara Islam, jadi kita kena mempertahankan agama maka mengekalkan negara Islam sebagai negara yang mempunyai raja beragama Islam sebagai pemerintah,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas pembentukan kerajaan negeri baharu menerusi Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) di negeri ini.

Tambah Dr. Abdul Rahman, sebagai negara  pelbagai kaum,  keutamaan menghormati semua bangsa.

Akan tetapi katanya, pemerintah yang beragama Islam perlulah memimpin umat Islam dan rakyat di negara ini.

“Pemerintahan mesti dikekalkan sebagai orang Islam, inilah hakiki supaya masyarakat sedar, kena pertahankan agama kita dan bangsa Melayu.

“Dalam Islam tidak membenarkan negara Islam diperintah oleh orang bukan Islam dan apabila orang Islam mememerintah, contohilah bagamaimana cara Rasulullah SAW memerintah,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, tanggungjawab berdakwah itu perlu diambil oleh semua pihak dan bukan kepada badan-badan tertentu sahaja untuk dalam memperjuangkan syiar Islam.

Menurutnya, apabila agama didahulukan dalam pentadbiran khususnya, nescaya perkembangan ekonomi, sosial, kebajikan rakyat semua akan terjamin dan kekayaan negara akan datang dengan sendirinya.

“Kita rakyat sendiri nampak Yang Di-Pertuan Agong sendiri pergi berjemaah Subuh, tak kan Agong sahaja hendak berdakwah seorang? Seharusnya kepimpinan negeri juga ikut cara pemerintahan itu dan anak muda akan mencontohi itu.

“Ajak anak muda pergi berjemaah sekali, maka semua akan baik, bermula dengan penyatuan ummah di masjid dan ke arah peningkatan keimanan.

“Dakwah ini bukan sahaja diberi kepada  jabatan agama atau jabatan mufti sahaja tetapi perlu diterapkan kepada kepimpinan kerajaan negeri sendiri,” katanya.

Mufti Pahang berharap rakyat dan sebagai umat Islam mentaati pemerintah dan pemimpin yang berjuang demi Islam tanpa sebarang perbalahan. – MalaysiaGazette