KUALA LUMPUR – Beberapa keping gambar pertemuan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) tular hari ini.

Beberapa pemimpin utama PH-BN turut dilihat duduk di kerusi antaranya Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim diapit Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Turut kelihatan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.

Malah turut kelihatan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Kelihatan di belakang adalah Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Butiran mesyuarat kedua-dua parti itu masih lagi belum didedahkan oleh mana-mana pemimpin setakat ini.

Perjumpaan di Hotel Seri Pacific itu dipercayai bagi membentuk gabungan parti bagi menghalang Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada diangkat menjadi Perdana Menteri kesepuluh negara.

Bagaimanapun, tiada seorang pun pemimpin DAP dilihat berada dalam mesyuarat tersebut sekaligus menimbulkan tanda tanya mengenai status kerjasama PKR dengan DAP. – MalaysiaGazette