Chong Eng.

GEORGE TOWN – Sebanyak 209 kes penderaan kanak-kanak direkodkan di seluruh negeri Pulau Pinang dalam tempoh sembilan bulan sejak Januari tahun ini.

Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata, berdasarkan 209 kes ini serangan seksual mencatatkan rekod tertinggi dengan 91 kes diikuti kes pengabaian (67); penderaan fizikal (42) dan penderaan emosi (9).

Katanya, statistik mengikut daerah pula, Seberang Perai Tengah (SPT) merekodkan 97 kes diikuti Timur Laut (58) Seberang Perai Utara (21), Barat Daya (19) Seberang Perai Selatan (14).

“Kalau dilihat secara purata sekurang-kurangnya satu kes dilaporkan setiap hari.

“Faktor dan punca berlakunya penderaan kanak-kanak adalah disebabkan masalah kewangan, kecuaian ibu bapa atau pengasuh, pendera terlibat dengan jenayah, kanak-kanak mengikut teman lelaki dan pengaruh rakan sebaya,” katanya.

Chong Eng (DAP-Padang Lalang) menjawab soalan A. Kumaresan (PKR-Batu Uban) mengenai jumlah kes penderaan kanak-kanak pada tahun ini pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Chong Eng berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa mengambil langkah proaktif mengikut prosedur operasi standard jabatan berkenaan.

“Antaranya menyelamatkan mangsa dalam tempoh 10 jam selepas menerima makluman atau aduan dan membawa mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan sewajarnya jika ada keperluan.

“Selain itu, JKM juga akan mendapatkan perintah sementara di bawah Seksyen 19 Akta Kanak-kanak 2001 dan perintah tetap di bawah Seksyen 30 akta sama diperoleh daripada pihak mahkamah untuk menempatkan mangsa di bawah jagaan atau tempat yang selamat serta khidmat nasihat dan intervensi kaunseling.

“Pasukan pelindungan kanak-kanak yang dilantik di bawah Seksyen 7 Akta Kanak-Kanak 2001 juga memainkan peranan dalam melaksanakan program-program advokasi berkaitan penderaan kanak-kanak pada peringkat komuniti setempat,” katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung peranan yang dimainkan oleh Kerajaan Negeri, Chong Eng memberitahu bahawa di bawah agensi negeri, Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), program-program kesedaran seperti ‘Penang Goes Orange’ yang diadakan setiap tahun bagi mengekang perlakuan penderaan terhadap kanak-kanak dan wanita.

Kerajaan Negeri juga mempunyai Dasar Keluarga Selamat dalam memberi kesedaran bahawa perlakuan penderaan adalah salah dari segi undang-undang selain meningkatkan sokongan kepada keluarga yang mengalaminya. – MalaysiaGazette