KUANTAN – Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah berkenan mencemar duli merasmikan Festival Orang Asal Peringkat Antarabangsa 2022 di Kuantan 188, di sini, hari ini.

Program anjuran Kuantan 188 dan Pertubuhan Seni Silat Senaman Gerak Sentuhan buat julung kalinya itu berlangsung selama tiga hari bermula semalam.

Festival ini bertujuan mengangkat serta megekalkan kesenian dan warisan adat budaya orang asal tempatan dalam dan luar negara yang terdiri daripada pelbagai etnik dan bangsa di mata masyarakat.

Objektif utama festival ini adalah untuk mengetengahkan keunikan pelbagai etnik dan budaya orang asal dari pelbagai negara dan memupuk semangat perpaduan bersama masyarakat dalam aktiviti seni budaya.

Secara tidak langsung festival berkenaan dilihat menjadi elemen tarikan pelancong kerana festival itu dilihat memberi impak kepada industri pelancongan negara menerusi perkongsian seni budaya orang asal dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Turut diadakan persembahan daripada pelbagai etnik seperti Semelai (Pahang), Mahmeri (Selangor), Seletar (Johor), Baba Nyonya dan Portugis (Melaka), Sabah dan Sarawak serta penampilan khas kumpulan Bah Bola dan penyanyi orang asal, Itam Jelmol.

Selain itu, penampilan khas dari etnik antarabangsa pula terdiri daripada orang asal Khazakhstan, Afrika, dan Mauritius akan mempersembahkan tarian dan persembahan dari etnik mereka.

Pameran demonstrasi permainan masyarakat tradisi orang asal dan jualan dari pelbagai etnik dipamerkan kepada pengunjung bagi memberi peluang melihat sendiri hasil-hasil tangan masyarakat orang asal. – MalaysiaGazette