KUALA LUMPUR – Kejuruteraan Bintai Kindenko Sdn Bhd (KBK), anak syarikat Bintai Kinden Corporation Berhad (Bintai Kinden) mendapat projek bernilai RM39 juta untuk pemasangan litar berkembar kabel bawah tanah 132kV daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Skop kerja projek ini melibatkan pemasangan sistem kabel XLPE 132kV baharu dari Pusat Kewangan PMU ke Pencawang Pusat Data GDS yang terletak di Nusajaya, Johor.

Kabel XLPE baharu terdiri daripada dua litar, dan tiga fasa, dengan satu kabel kuprum 1600mm2 setiap fasa.

Menurut kenyataann yang dikeluarkan KBK, syarikat itu diberi masa 319 hari dari permulaan untuk menyiapkan projek.

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden Azri Azerai berkata, syarikat terus membuat kemajuan dalam mencari lebih banyak projek yang memanfaatkan kepakaran dan pengalamannya dalam perkhidmatan kejuruteraan M&E termasuk reka bentuk, pemasangan dan pentauliahan.

“Anugerah projek terbaharu daripada TNB ini mencerminkan peluang yang berpunca daripada momentum pertumbuhan dalam ekonomi,” katanya.

Beliau menambah,  pihaknya juga komited untuk mengembangkan rangkaian kepakaran mereka dan sentiasa mencari untuk mempelbagaikan apabila syarikat berubah menjadi sebuah konglomerat melalui pelaburan dalam perniagaan yang unik dan khusus dengan potensi pertambahan pendapatan yang besar.

Projek-projek TNB yang disertai Bintai Kinden termasuk stesen pensuisan 132kV Kuchai Lama, stesen pensuisan MRT Bukit Serdang 132kV, kabel bawah tanah litar tunggal 132kV dari PMU Galloway ke PMU KLCC2 dan, sambungan bekalan pukal 132kV ke stesen penyuap KTMB Sentul.