Burger Bae kini mempunyai 10 cawangan di Sabah

KOTA KINABALU -Universiti  Malaysia Sabah (UMS) mempunyai seramai 2,819 usahawan pelajar atau dikenali sebagai SiswapreneurUMS hasil pelbagai inisiatif yang dijalankan dalam  dalam aspek pembangunan keusahawanan pelajar.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, usahawan pelajar tersebut adalah pelajar yang telah mendaftar lesen perniagaan bersama Pusat Kerjaya dan Pembangunan Keusahawanan Pelajar (PKPKP) menerusi kempen #JomDaftar.

”Pendaftaran e-Lesen perniagaan kepada pelajar UMS telah dilaksanakan untuk membudayakan proses menubuhkan dan menjalankan perniagaan seperti di dunia luar kampus UMS.

”Secara tidak langsung, angka 2,819 itu juga menunjukkan bahawa ramai pelajar berniaga untuk menjana pendapatan sampingan sambil belajar,” katanya.

Kasim menambah, melalui kempen #JomDaftar dan komuniti SiswapreneurUMS, pihak PKPKP dapat memantau komuniti pelajar tersebut dan memberi sokongan yang diperlukan seperti sesi coaching, sokongan untuk mengembangkan perniagaan, platform untuk berniaga dan peluang untuk mengikuti latihan kemahiran eksklusif.

PKPKP juga turut memperkenalkan program #JomJanaPendapatan dengan menggunakan sistem ejen, dropship, atau stokis kepada pelajar yang baru berkecimpung mengenali dunia perniagaan, dan khususnya untuk menjana pendapatan sampingan ketika dalam pengajian.

Malah PKPKP bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyediakan platform Tamu [email protected] untuk menjana pendapatan dengan berniaga ataupun untuk mereka bekerja dengan penggerai luar.

Dalam menjayakan ekosistem keusahawanan juga katanya UMS mempunyai seramai 82 tenaga pengajar dengan kepakaran keusahawanan.

”Dalam tahun ini seramai tujuh pensyarah telah menerima Professional Certificate for Entrepreneurship Educators (Proceed), malah lebih daripada 10 orang pensyarah telah menyertai Training of Trainers eUsahawan tahap 1 bersama MDEC.

”Tenaga pengajar memainkan peranan yang penting bagi membimbing pelajar UMS untuk mengembangkan idea dan juga perniagaan,” katanya.

Mengambil salah satu contoh, hasil daripada bimbingan salah seorang staf PKPKP UMS iaitu Awang Nasip Yonos, perniagaan keusahawanan sosial Burger Bae telah meraih jualan tahunan sebanyak RM90,000 semasa PKP dan sehingga kini mempunyai 10 cawangan di Sabah,” kata Kasim. – MalaysiaGazette