KLANG – Setakat ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum membincangkan mengenai pembentukan Kabinet dengan komponen Pakatan Harapan (PH).
Perkara itu disahkan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu.
Beliau berkata, belum ada sebarang perjumpaan atau perbincangan dengan Anwar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis lalu.
“Setakat ini belum ada perbincangan pembentukan Kabinet bersama parti komponen PH.
“Saya percaya ia akan dibuat secepat mungkin oleh Anwar selaku Pengerusi PH dan untuk apa sahaja jawatan kita serahkan kepadanya,” katanya dalam majlis meraikan petugas PH di Parlimen Kota Raja malam tadi.
Anwar mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada 24 November lalu dan memulakan tugas rasminya pada pagi Jumaat.
Ditanya, adakah beliau akan dilantik semula sebagai Menteri Pertahanan, Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu menjelaskan, semua keputusan itu di tangan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette