Rosli (kiri) bersama Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

KUANTAN – Pas Pahang menghormati pilihan rakyat dan akan memainkan peranan sebagai pembangkang yang konstruktif di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

Demikian kata Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar susulan keputusan Barisan Nasional (BN) secara rasmi menjadikan Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan gabungan untuk menerajui kerajaan negeri.

“Dengan mandat dan majoriti pilihan rakyat ini, Pas dan Perikatan Nasional (PN) akan berperanan menegur dan menasihati semua pihak supaya tadbir urus Negeri Pahang dapat berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rosli, ia juga bersesuaian dengan matlamat pembentukan negeri Pahang yang diinginkan oleh PN iaitu prihatin, bersih dan stabil.

Hari ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang ke-15 di Istana Sultan Abu Bakar di Pekan.

Beliau menerima watikah pelantikan daripada Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdulah Rayatuddin Al-Mustafa Bilah Shah dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan baginda.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, PN memperoleh 17 kerusi DUN, BN memperoleh 16 kerusi, manakala PH memenangi lapan kerusi.

Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang, bagaimanapun proses pengundian di DUN Tioman akan berlangsung pada 7 Disember depan.

Ia susulan ekoran kematian calon PN, Md Yunus Ramli pada pagi hari pengundian 19 November lalu. – MalaysiaGazette