KUALA LUMPUR – Kerajaan Pusat yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar akan menghadapi rintangan bagi penyatuan fiskal di tengah-tengah permintaan luar yang semakin lemah dan tekanan pengguna terhadap penggunaan subsidi bagi membendung kenaikan kos sara hidup.
Fitch Ratings berkata, walaupun agenda dasar kerajaan masih belum jelas, ia menjangkakan defisit Kerajaan Persekutuan kekal melebihi 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2022-2024.
Unjuran ini mengambil kira keadaan prospek ekonomi yang lebih mencabar dan janji-janji perbelanjaan yang dibuat semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 baru-baru ini.
“Pelantikan Perdana Menteri telah menamatkan ketidaktentuan situasi politik negara dalam jangka pendek.
“Namun, kedudukan kerajaan masih kekal rapuh,” katanya agensi penarafan itu.
Jelasnya, walapun Pakatan Harapan (PH) mendapat sokongan UMNO untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan tetapi situasi masih tidak helas sejauh mana kekukuhannya.
Apatah lagi, undang-undang Akta Anti Lompat Parti tidak menghalang seseorang ahli Parlimen menyokong mana-mana wakil rakyat yang bakal diangkat sebagai Perdana Menteri.
Fitch Ratings menambah, kerajaan baharu telah memaklumkan akan menyemak semula Bajet 2023 yang telah dibentang, justeru, pendirian dasar fiskalnya masih tidak menentu buat masa ini.
“Firma ini percaya ia akan kekal longgar dalam tempoh terdekat ini. Ditambah pula semua blok-blok politik (PH, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional) berjanji semasa kempen untuk meringankan beban kos sara hidup rakyat semasa berkempen.
Pada masa sama, kerajaan pimpinan Anwar pula mahu mengkaji semula sistem subsidi yang luas dan merugikan walaupun pemberian subsidi selama ini membendung inflasi lebih tinggi.
Kajian yang mahu dilakukan ini tidak seimbang dengan kempen PH mahu menambah baik penjagaan kesihatan, perumahan, pendidikan dan infrastruktur.
Selain itu, manifesto pilihan raya PH juga menggesa kajian semula perkongsian hasil dan desentralisasi kuasa ke wilayah Sabah dan Sarawak – semua ini akan memberi implikasi kepada kewangan Kerajaan Persekutuan.
Dalam pada itu, Fitch Ratings mengunjurkan penyatuan fiskal akan mendapat rangsangan dalam jangka terdekat daripada pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh.
Ia menyemak semula unjuranpertumbuhan ekonomi 2022 kepada 7.8%, daripada 6.5% sebelumnya, selepas keluaran kukuh pada 2Q2022 (suku kedua 2022) dan 3Q2022.
Namun, Fitch Ratings menurunkan unjuran pertumbuhan 2023 kepada 3.5% berbanding 4.5% sebelum ini mengambil kira persekitaran luar yang mencabar. – MalaysiaGazette