MELAKA – “Waktu hendak masuk tandas, saya sangkakan pakcik itu tertidur akibat kepenatan walaupun pelik melihat duit syiling berselerakan di atas meja sebelum masuk tandas.
“Tak sangka pula rupanya dia sudah meninggal dunia dan itu pun saya hanya mengetahuinya melalui kiriman WhatsApp yang tular malam tadi,”.
Itu pengalaman diceritakan pengguna tandas awam Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Jalan Klebang Besar, Klebang, di sini, yang menyaksikan pekerja pembersihan tandas itu meninggal dunia akibat serangan jantung malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa, Mohamad Ismail Saadah, 67, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri terduduk di kerusi di kaunter bayaran itu sebelum laporan polis dibuat pada pukul 8.25 malam.
“Pemeriksaan sepasukan anggota polis di lokasi telah menemui mangsa dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan siasatan juga tidak menemui sebarang unsur jenayah.
“Hasil bedah siasat mendapati kematian disebabkan serangan jantung kerana semakan mendapati si mati juga pernah dirawat di Hospital Melaka akibat serangan jantung pada 2 November 2009,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette