Pesawat Scoot Airline

KUANTAN – Setelah dua tahun tidak beroperasi, syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot Airline (Scoot) kembali menawarkan perkhidmatan ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), di sini bermula hari ini.

Pesawat pertama yang membawa 75 penumpang tiba daripada Singapura pada jam 11.15 pagi hari ini disambut Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin dan Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali.

“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan pengoperasi semula penerbangan Scoot ke sini kerana Singapura merupakan antara penyumbang utama kepada kedatangan pelancong ke Pahang,” kata Razihan.

Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menyambut ketibaan penumpang pertama penerbangan Scoot di LTSAS, di sini hari ini.

Menurut Razihan, perkhidmatan Scoot dari Singapura-Kuantan-Singapura akan beroperasi  tiga kali seminggu iaitu setiap hari Rabu, Jumaat dan Ahad sekitar jam 10.15 pagi dari Singapura dan 11.15 pagi dari LTSAS.

Jelasnya, pemilihan Kuantan (Pahang) sebagai destinasi syarikat penerbangan itu kerana negeri ini memiliki pelbagai tarikan pelancongan untuk dilawati sama ada pelancong Singapura mahupun antarabangsa.

“Sudah pasti laluan baharu ini secara langsung memberi manfaat kepada industri pelancongan Pahang sekali gus meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya.

Timbalan Setiausaha (Pembangunan) Kerajaan Pahang, Datuk Razihan Adzharuddin dan Timbalan Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof dan Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali menyambut penumpang Scoot pertama di LTSAS, hari ini

Sementara itu, Iskandar pula memberitahu Kuantan merupakan destinasi keempat pengoperasian semula Scoot di Malaysia selepas negara membuka semula pintu sempadan pada April lalu.

“Sebelum ini mereka sudah menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Singapura ke Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Langkawi.

“Jadi, Kuantan adalah destinasi keempat mereka dan saya yakin pemilihan ini disebabkan permintaan tinggi dalam kalangan pelancongan di Singapura itu sendiri,” katanya.

ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan.

Jelasnya, berdasarkan pertambahan syarikat penerbangan luar yang kembali beroperasi di negara inimenunjukkan keyakinan terhadap Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan.

Difahamkan, buat masa ini, Scoot menawarkan tambang serendah RM100 bagi penerbangan sehala dari LTSAS ke Singapura dan RM400 bagi penerbangan dua hala.-MalaysiaGazette