Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berucap pada Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional Peringkat KPT Tahun 2022 di Dewan Za'ba KPT, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Kompetensi Berasaskan Integriti dipilih sebagai tema sambutan Hari Integriti Nasional peringkat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tahun 2022.

Tema itu dipilih bagi menggambarkan hasrat KPT untuk memastikan warga kerja kompeten tanpa mengetepikan integriti dalam setiap aspek tugasan.

Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar berkata, sambutan kali ini bertujuan untuk memupuk kefahaman, penghayatan dan pembudayaan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kementerian.

“Hal ini selaras dengan hala tuju baharu pihak pengurusan tertinggi KPT yang komited dalam meningkatkan pembudayaan integriti serta mengurangkan taraf risiko rasuah peringkat kementerian, jabatan, agensi serta institusi pendidikan tinggi di bawah KPT.

“Jentera perkhidmatan awam yang stabil dan berintegriti adalah elemen yang penting dalam memastikan tadbir urus yang terbaik,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Integriti Nasional peringkat KPT di Dewan Za’ba KPT di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Abdul Razak turut mengingatkan warga KPT sentiasa menjiwai frasa “saya yang menjalankan amanah” dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Sementara itu, seramai tujuh orang pegawai KPT dianugerahkan Sijil Kompetensi Berasaskan Integriti sebagai penghargaan atas usaha mereka dalam melaporkan pelanggaran tatakelakuan dan mengambil tindakan korektif, preventif dan proaktif bagi mengelak reputasi dan nama baik perkhidmatan awam terjejas. -MalaysiaGazette