Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman berkenan hadir pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Malam Amal Badan BAKASA & BAKAT Islamic Fashion Festival (IFF) 2022 bertempat di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sini malam tadi.

Majlis itu merupakan inisiatif Pengerusi Jemaah Tertinggi, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera Malaysia (BAKAT ATM) yang juga Penasihat Diraja, Badan Amal Kasih Sayang (BAKASA), Puan Sri Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah.

Beliau berkata, majlis dianjurkan kerana kedua-dua pertubuhan itu memerlukan suntikan dana apatah lagi dalam waktu pasca Covid-19 ketika ini bagi meneruskan kelangsungan pelbagai program di bawah naungan BAKASA dan BAKAT ATM.

“Di pihak BAKASA, kami telah melihat peningkatan 30 peratus dalam gred anak-anak kami menerusi perlaksanaan kelas e-tuisyen pada waktu petang dan melibatkan mereka dalam program Centre of Innovation Tengku Ampuan Afzan (CINTAA).

“Untuk BAKAT pula, kami menjalankan program latihan masakan dan fesyen untuk anggota BAKAT kami di mana kebanyakan isteri para anggota dan pegawai menerusi sumbangan peralatan percuma seperti ketuhar, mesin jahit, set pengukur dan lain-lain yang mampu membantu mereka mendapatkan pendapatan tambahan antara RM50 hingga RM200 sehari.

“Semua ini tidak akan terlaksana jika tidak kerana rahmat Allah SWT melalui kemurahan hati para penyokong dan penderma setia kami sepanjang tahun bagi kedua-dua pertubuhan ini beroperasi,” katanya.

Penasihat Diraja BAKASA merangkap Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini Ahmad Shah berucap pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2022.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malam Amal Badan BAKASA & BAKAT IFF 2022 yang turut dihadiri Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, acara pertunjukan fesyen merupakan pengisian malam amal yang berkonsepkan keislaman telah diasaskan oleh Prof. Adjung Datuk Seri Raja Rezza Shah yang juga merupakan Pengerusi IFF.

Pertunjukan fesyen telah memperagakan rekaan busana terbaharu yang bercirikan keislaman hasil kreativiti beberapa pereka fesyen termasyhur dari dalam dan luar negara.

Acara menampilkan pereka fesyen dari Malaysia iaitu Rizman Ruzaini, Calvin Thoo, Nurita Harit, Rozita Che Wan dan koleksi Raja Rezza Shah sendiri serta pereka fesyen dari Indonesia iaitu Jeny Tjahyawati dan Ghea Panggabean.

Di samping itu, acara malam turut diserikan lagi dengan persembahan hiburan oeh artis terkenal tanah air dan Singapura iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk DJ Dave, Datuk Amy Search, Rahimah Rahim dan Aliff Aziz.

Pertunjukan fesyen pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2022.

Penganjuran majlis malam amal itu bukan sahaja bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan kepada Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan (RuKTAA) dan CINTAA di bawah naungan BAKASA, malah dana yang diperolehi turut disalurkan kepada BAKAT untuk menjayakan program transformasi BAKAT ATM.

Mengulas lanjut, Tengku Muhaini meluahkan rasa syukur kerana beberapa anak-anak RuKTTA telah berjaya ke peringkat universiti dan kolej dan ada juga yang mendapat gred yang tinggi hasil pelaksanaan kelas tuisyen dan aktiviti kurikulum yang diberikan.

Jelas beliau, BAKASA juga telah mewujudkan CINTAAyang memberi anak-anak RuKTAA dan komuniti setempat mendapat akses kepada kaedah pembelajaran STEM melalui program bit dan robotik.

“BAKAT pula yang merupakan sebuah organisasi diamanahkan untuk memberi khidmat kebajikan kepada ahli-ahlinya yang merangkumi keluarga warga angkatan tentera.

“Syukur alhamdulillah kini, BAKAT telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan dan kini mempunyai identitinya yang tersendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

Pertunjukan fesyen pada Majlis Malam Amal Bakasa dan Bakat Festival Fesyen Islamik (IFF) 2022 di Wisma Perwira, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 NOVEMBER 2022.