Awang Adek Hussin

KUALA LUMPUR – Syarikat tersenarai awam (PLC) Malaysia terus mengambil langkah proaktif dalam menangani risiko dan peluang kemampanan, menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) 2022 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dikeluarkan hari ini.

PLC kekal menerima pakai amalan terbaik tadbir urus korporat seperti yang disyorkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), termasuk amalan terbaik baharu yang diperkenalkan dalam semakan MCCG 2021, khususnya yang berkaitan dengan kemampanan.

Ini termasuk memastikan lembaga pengarah dan pengurusan kanan menjalani latihan berkala bagi mengikuti perkembangan isu kemampanan berkaitan syarikat, dengan sebanyak 58% daripada kalangan PLC mempunyai jawatankuasa khusus atau peranan dalam pengurusan kanan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan strategik kelestarian untuk syarikat.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, beliau berpuas hati kerana PLC terus mempertingkat amalan terbaik CG walaupun dalam persekitaran yang mencabar.

”Tadbir urus yang baik kekal sebagai asas perniagaan dan merupakan kunci untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti. Ini akan memupuk kemampanan dan membantu syarikat merealisasikan faedah jangka panjang termasuk mengurangkan risiko, merebut peluang pertumbuhan, meningkatkan nilai pemegang saham dan memenuhi jangkaan pemegang kepentingan yang berubah-ubah,” katanya.

Penemuan utama daripada CG Monitor termasuk:

1. PLC telah menetapkan sasaran pengurangan pelepasan

SC mendapati PLC telah menetapkan dan komited kepada sasaran pengurangan pelepasan termasuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2030 serta sifar bersih menjelang 2050 berdasarkan semakan terhadap 50 PLC yang terdiri daripada, antara lain, PLC besar yang beroperasi dalam tenaga, perladangan, dan sektor pengangkutan dan logistik.

Lebih separuh daripada PLC juga mendedahkan data berkaitan pelepasan walaupun sebelum diwajibkan oleh Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

Semua PLC dikehendaki mendedahkan data berkaitan pelepasan dalam laporan tahunan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 dan seterusnya.

2. Lebih ramai wanita dilantik sebagai pengarah bebas

CG Monitor juga melaporkan bahawa sebanyak 34% individu yang dilantik sebagai ahli lembaga PLC pada 2022 adalah wanita, berbanding 23% pada 2021.

80% daripada pengarah wanita yang dilantik adalah untuk jawatan pengarah bebas, mengurangkan kebimbangan bahawa peraturan mandatori untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah akan membawa kepada pelantikan individu berkaitan seperti ahli keluarga.

3. Pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah

Walaupun penerimaan keseluruhan MCCG menggalakkan dan ditambah baik dalam kualiti pendedahan untuk beberapa amalan terbaik, terdapat perkara yang masih boleh ditambah baik khususnya, penggunaan amalan yang berkaitan dengan pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah, dengan sedikit peningkatan pada tahun 2022.

Hanya 22% (2021:21%) daripada PLC mendedahkan imbuhan pengurusan kanan dalam kumpulan RM50,000 atau mengikut jumlah yang tepat.

Pihak berkepentingan, terutamanya pelabur institusi, terus menyokong ketelusan dan penjajaran yang lebih baik antara gaji dan prestasi, termasuk Majlis Pelabur Institusi Malaysia seperti yang ditonjolkan dalam semakan terbaharu Kod Pelabur Institusi Malaysia.

SC dan Bursa Malaysia akan menjalankan kajian yang lebih mendalam mengenai perkara ini. – MalaysiaGazette