Rafizi Ramli

KULIM – Perjanjian gabungan antara semua parti politik dalam Kerajaan Perpaduan mampu membentuk kerajaan yang stabil dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, kata Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Beliau berkata perjanjian yang dijangka akan ditandatangani minggu depan itu adalah untuk memastikan terdapat persamaan dari segi dasar yang mengikat semua program yang dirancang antara parti politik terlibat.

“Perjanjian tersebut ialah, kerajaan ini akan kekal selama satu penggal dan tidak akan dibubarkan (dalam tempoh tersebut). Kita punya tujuan ialah, kita memahami bahawa kita memerlukan kestabilan untuk membina semula negara ini dan itulah tumpuan kita sekarang.

“Kita hendak memastikan struktur membuat keputusan untuk menguruskan perbezaan daripada gabungan yang ada ini ditakrifkan dengan jelas…termasuk kewajipan setiap parti memastikan Ahli-ahli Parlimen mereka mengundi menyokong Kerajaan Perpaduan.

“Kalau ada anggota mana-mana parti yang ingkar kepada undi itu, maka secara automatik dari sisi undang-undang anti lompat parti dia tergugur dan tidak jadi Ahli Parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Mega Ayuh Malaysia Bersama Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Parlimen Padang Serai di Jalan Kelang Lama, di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Menteri Dalam Negeri dan Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Rafizi yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata melalui perjanjian yang akan ditandatangani itu, rakyat akan menjadi lebih jelas mengenai perancangan gabungan politik di dalam Kerajaan Perpaduan.

Katanya, ini kerana rakyat juga sedang melihat kemampuan kerajaan gabungan politik, terutama antara BN dan PH, yang telah bersengketa lebih 20 tahun.

“Yang lebih penting, ia akan ditandatangani secara terbuka dan dokumen itu akan menjadi milik rakyat,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung BN yang juga Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan satu perjanjian daripada pelbagai parti dalam kerajaan akan ditandatangani dalam masa terdekat.

Perjanjian tersebut dikatakan mampu meyakinkan rakyat terhadap pelbagai parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan itu.- BERNAMA