Muhammad Sanusi Md Nor

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan sekiranya dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mendakwa kononnya berlaku politik wang semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memberikan kebebasan sepenuhnya kepada PDRM untuk meneliti perkara tersebut.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang merupakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah dalam ceramahnya kecewa selepas terdapat segelintir penyokong dan pengundi mereka mengharapkan duit tambang untuk pulang mengundi.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor itu kita percaya kalau ada asas untuk polis membuat siasatan maka pasukan polis akan buat demikian.

“Biar beri ruang kebebasan sepenuhnya polis meneliti berdasarkan merit laporan terhadap dakwaan itu atau pun kandungan sesuatu aduan itu,” katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang media di KDN hari ini.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin percaya dengan tahap profesionalisme pasukan PDRM dalam mengendalikan sesuatu isu dalam aspek perundangan yang diperuntukkan.

“Saya yakin dengan tahap profesionalisme pasukan polis dan memberikan sepenuh ruang dan kebebasan kepada Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (Ketua Polis Negara) serta pasukannya meneliti kes ini,” ujarnya.

Diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyerahkan kes dakwaan dana RM660 bilion Covid-19 membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada badan siasatan berkuasa semalam, Saifuddin menjelaskan, perkara itu akan dibincangkan bersama PDRM selepas ini.

“Saya belum sempat berbincang secara spesifik dengan Ketua Polis Negara tentang perkara itu. Sudah tentu saya akan dapatkan pandangan dari pihak badan siasatan berkaitan jika ia berkaitan bidang kuasa polis.

“Semalam, PM dalam sidang media menyatakan secara spesifik berapa dana dan siapa terlibat dan sebagainya untuk disiasat badan berkuasa.

“Selepas ini saya akan duduk berbincang dengan Acryl Sani mendapatkan pandangan bagaimana hendak moving forward perkara itu nanti,” tegasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.