Pasukan Polis Marin melakukan demostrasi menyelamatkan mangsa banjir selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Misi Bencana Banjir daripada 7 Eleven Malaysia Sdn Bhd kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 07 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini menerima keperluan misi bantuan banjir bernilai RM490,000 daripada 7-Eleven Sdn. Bhd sebagai tanggungjawab sosial korport.

Keperluan itu ialah 30 buah bot, 15 buah enjin 20 kuasa kuda dan 15 lagi enjin berkuasa kuda 15 HP dan 300 unit jaket keselamatan.

Sumbangan 7-Eleven itu bagi membantu PDRM menghadapi musim banjir di seluruh negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acry Sani Abdullah Sani berkata, keperluan ini akan diagihkan kepada Unit Tindakhas (UTK) – dua unit; 69 Komando – dua unit; Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) – sembilan unit; Pasukan Polis Marin (PPM) – lima unit, dan Pasukan Gerakan Am (PGA) – 12 unit.

“Dalam masa sama, penambahan aset dan peralatan menyelamat yang diterima ini akan membantu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan PDRM khususnya dalam operasi banjir.

“PDRM juga berbesar hati menerima sumbangan berupa barangan keperluan asas iaitu food pack yang akan diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir semasa operasi menyelamat kelak,” kata beliau dalam ucapannya di Markas Polis Marin Putrajaya di sini pagi ini.

Ucapan beliau telah dibacakan oleh wakilnya Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali yang hadir menyempurkan majlis pagi tadi.

Tambah beliau, PDRM sangat menghargai sumbangan ini kerana akan memudahkan misi menghadapi bencana yang diramalkan sehingga Mac tahun depan.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif  bersama 7 Eleven, Tan U-Ming berkata, pihaknya bangga dapat menghulurkan bantuan banjir kepada PDRM kali ini.

Katanya, ada dalam kalangan kakitangannya di 2,400 cawangan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir besar dan kilat sebelum ini.

“Menyedari hakikat ini  kami berbesar hati menghulurkan bantuan peralatan logistik seperti bot dan jaket keselamatan bagi membantu memperkasa tugas PDRM semasa menghadapi bencana kelak tanpa sebarang kekangan.

“Kerjasama ini bukan yang terakhir dan ia akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang bersama PDRM,” ujarnya.- MalaysiaGazette