Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Polis masih meneruskan siasatannya ke atas Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa telah mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 di Temerloh pada November lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, sebelum ini, Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional itu telah dipanggil dan dirakam keterangan selama sejam setengah pada 5 Disember lalu.

“Kertas siasatan itu telah dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) pada minggu lalu untuk arahan lanjut.

“Namun DPP telah mengembalikan kertas siasatan itu kepada kami pada hari yang sama dengan arahan supaya polis meneruskan lagi siasatan dalam kes ini ,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Eng Lai, setakat ini, polis masih meneruskan siasatan ke atas Ahli Parlimen Marang itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Siasat secara adil, saksama mereka keluar kenyataan sentuh sensitiviti agama Islam – Abdul Hadi

IPD Sentul ambil keterangan Abdul Hadi

“Kita akan melakukan siasatan dengan segala maklumat yang diperlukan dalam kes ini serta seperti diarahkan DPP. Kemudian ia akan dirujuk semula kepada DPP untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian Perkhidmatan,” katanya tanpa memperincikan jangka masa yang diperlukan kali ini bagi melengkapkan kertas siasatan.

Pada 5 Disember lalu, Abdul Hadi diambil keterangan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk memberi keterangan susulan beberapa laporan polis yang dibuat ke atas beliau yang didakwa menghasut.

Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng membuat laporan polis terhadap Abdul Hadi di IPD Dang Wangi pada 27 November lalu atas dakwaan ucapan kempen pemimpin tertinggi Pas itu bersifat fitnah.

Hadi sebelum ini dikatakan mendakwa DAP mempromosi Islamofobia dan menghalang Pas daripada berkuasa selain menyifatkan parti komponen Pakatan Harapan sebagai tidak bermoral. – MalaysiaGazette