cuepacs gaji
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Semua pihak terutama warga perkhidmatan awam diminta tidak memanjangkan isu penamatan perkhidmatan Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Adnan Mat turut menggesa supaya isu penamatan perkhidmatan tersebut tidak digunakan sebagai modal politik.

Beliau berkata, peristiwa penamatan tugas Mohd Shafiq perlu digunakan sebagai pengajaran berguna.

“Selari dengan keputusan penamatan yang diambil melalui prosedur Penamatan Demi Kepentingan Awam, semua pihak perlu menghormatinya.

“Keputusan telah dibuat kerajaan bersandarkan hasil dapatan daripada jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan dan semua pihak harus menghormatinya sebagai suatu pengajaran yang berguna,” tegasnya.

Adnan berkata, CUEPACS amat menghargai jasa dan sumbangan Mohd. Syariq dalam perkhidmatan awam walau apapun alasan terhadap penamatan tugas beliau.

Katanya, CUEPACS telah dimaklumkan mengenai penamatan perkhidmatan Mohd Shafiq berkuatkuasa pada 12 Disember 2022.

Sementara itu, Adnan berkata, semua pihak termasuk pegawai lantikan politik dalam perkhidmatan awam perlu menjadikan amanat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai panduan.

Anwar telah memberi panduan bahawa mereka yang berada dalam kerajaan perpaduan harus menghormati proses kerjasama dengan penjawat awam dalam usaha pemulihan negara.

“Sudah tentu sikap hormat menghormati menjadi asas utama bagi membentuk sebuah permuafakatan yang baik dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Hubungan antara kakitangan tidak kira jawatan haruslah dijaga dengan baik kerana kerjasama yang kukuh akan diterjemahkan melalui kualiti perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.

Media melaporkan, perkhidmatan Mohd Shafiq ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen).

Insiden itu dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

KSN sahkan perkhidmatan Mohd Shafiq ditamatkan semalam