Pihak Perodua memberikan sumbangan di Hospital Selayang

KUALA LUMPUR – Perodua menyumbang sebanyak RM151,000 berbentuk barangan dan peralatan kepada dua hospital awam sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, hasrat pihaknya untuk membantu institusi yang memberi manfaat terbesar kepada semua rakyat Malaysia, seperti hospital-hospital kerajaan yang tersedia untuk semua.

“Perodua telah menyumbang barangan termasuk peralatan diagnostik, peralatan pemulihan dan peralatan penjagaan pesakit.

“Peralatan lain turut disumbangkan ialah mesin dialisis dan juga hamper untuk para pesakit serta pasukan barisan hadapan di Hospital Kuala Kubu Bharu dan Hospital Selayang baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh JH Rozman Jaafar, Ketua Pegawai Operasi Perodua Sales Sdn Bhd kepada pihak pengurusan hospital dengan disaksikan oleh para pegawai perubatan dan kakitangannya.

Pihak Perodua memberikan sumbangan di Hospital Kuala Kubu Bharu.

Jelas Zainal, setakat ini Perodua telah menyumbang peralatan perubatan dan kesihatan kepada hospital-hospital awam di seluruh negara.

Ini termasuk Hospital Umum Sarawak, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas.

Selain itu, Hospital Shah Alam, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Hospital Ampang, Hospital Putrajaya dan beberapa klinik komuniti di daerah Hulu Selangor.

“Kami percaya dalam membuat sesuatu perubahan, kami perlu konsisten dalam usaha kami dan kami amat berbangga kerana dapat membantu mereka yang bekerja dan berkhidmat tanpa jemu untuk negara.

“Kami akan terus bekerjasama dengan badan-badan seumpama ini pada masa akan datang kerana ini adalah cara terbaik untuk kami membalas sokongan yang telah diberikan kepada kami selama ini,” katanya. -MalaysiaGazette