Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberkas seorang lelaki warga tempatan yang disyaki memiliki dan mengedar bahan pornografi kanak-kanak dalam media sosial di Klang dekat sini baru-baru ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, suspek lelaki berusia 39 tahun itu telah ditahan pada 13 Disember lalu oleh Bahagian Siasatan Seksual , Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Penahanan itu hasil kerjasama PDRM dengan Biro Penyiasatan Pusat (FBI) Amerika Syarikat.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek yang ditahan di rumahnya mendapati sejumlah besar bahan pornografi kanak-kanak dijumpai di dalam komputer miliknya.

“Siasatan juga mendapati suspek turut berkomunikasi dengan mangsa kanak-kanak di samping memuat turun bahan pornografi kanak-kanak dengan menggunakan media sosial.

“Pasukan D11 berjaya melakukan rampasan komputer yang mengandungi bahan pornografi, external hard disk, router dan telefon bimbit milik suspek untuk siasatan lanjut polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Suspek telah ditahan direman selama empat hari bermula Rabu lalu sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan lanjut.

Kes berkenaan kini sedang disiasat di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan iaitu kerana kesalahan dan mengedar bahan lucah.

“Setakat ini, siasatan lanjut masih diteruskan polis terhadap suspek bagi mengenal pasti mangsa-mangsa yang terlibat di dalam kes ini,” tegasnya.-MalaysiaGazette