Razali Ibrahim merasmikan tapak pembinaan surau KVERTS.

KUALA LUMPURPusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menyerahkan sumbangan berjumlah RM495,000 melalui dana wakalah syarikat MyIPO bagi pembinaan surau Kolej Vokasional ERT Setapak (KVERTS).

Inisiatif pembinaan surau ini bagi menggantikan sebuah kelas yang dijadikan surau untuk pelajar lelaki, manakala surau perempuan pula terletak di asrama serta mempunyai kapasiti yang terhad.

Pihak KVERTS turut berhasrat agar surau yang bakal dibina ini dapat menjadi sebuah pusat komuniti untuk diadakan pelbagai aktiviti bersama para pelajar dan kakitangan. Pembinaan surau ini dijangka siap pada awal tahun 2024 dengan mengambil kira beberapa prosedur bagi pembinaan surau.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri  Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman  memuji keprihatian MyIPO menyalurkan sumbangan yang amat besar sekali untuk menyediakan rumah ibadat yang selesa buat warga KVERTS.

“Syabas diucapkan kepada MyIPO kerana bayaran zakat yang ditunaikan melayakkan mereka mendapat pengembalian semula wang zakat atau Skim Wakalah untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan dan salah satu daripadanya ada dengan pembinaan surau ini”.

Bagi MyIPO, pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat telah dilaksanakan untuk dinikmati oleh masyarakat termasuklah membantu mangsa banjir di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur pada hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Pada masa yang sama, MyIPO juga turut membantu golongan asnaf fakir dan miskin di seluruh negara bagi meringankan beban mereka dalam menjalani kehidupan seharian menerusi pemberian barangan keperluan dan juga wang tunai.

“Adalah diharapkan dengan pembinaan surau ini nanti, akan memberi keselesaan kepada kakitangan, guru-guru serta pelajar kolej untuk melakukan ibadat serta aktiviti kerohanian.  MyIPO juga berasa amat berbesar hati kerana menjadi penyumbang utama pembinaan surau ini.” Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Razali Ibrahim.

PPZ-MAIWP mensasarkan lebih banyak penglibatan syarikat-syarikat korporat menunaikan zakat dan menggalakkan kakitangan membuat potongan zakat di PPZ-MAIWP dan seterusnya layak menerima Skim Wakalah PPZ-MAIWP (pengembalian semula wang zakat).

“Kami amat mengalu-alukan kerjasama bersama pihak luar dalam membantu menguruskan dana wakalah yang diterima melalui program-program turun padang seperti hari ini. Semoga usaha kita pada hari ini dapat menyuntik hati orang ramai untuk turut menunaikan zakat di PPZ-MAIWP”, kata Abdul Aziz. – MalaysiaGazette