KUALA LUMPUR – Veteran DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau ada meramalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tumbang dalam tempoh setahun.
Beliau membuat penafian itu dalam satu kenyataan hari ini ekoran mesej palsu yang tular dalam media sosial berhubung ramalan tersebut.
Sebaliknya, bekas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mahu Anwar menjadi Perdana Menteri untuk penggal penuh selama lima tahun untuk menghentikan kemunduran negara dan memulakan proses panjang untuk menjadikan Malaysia hebat semula.
“Malah inilah mesej yang saya hantarkan kepada Anwar pada 24 November apabila Yang di-Pertuan Agong melantiknya menjadi Perdana Menteri ke-10.
“Mesej palsu ini adalah sebahagian daripada politik toksik penipuan, kebencian, syak wasangka, perkauman dan keagamaan yang telah memecahbelahkan negara sejak tempoh kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan perkara ini perlulah ditangani dengan tegas sekiranya kita tidak mahu melihat Malaysia terus berpecah-belah,” katanya.
Kit Siang memberitahu, para menteri dan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Anwar perlu menghayati dan belajar dari pengajaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan sebelum ini.
Menurut beliau, pengajaran yang paling penting sekali adalah sentiasa akan ada kuasa dan personaliti politik yang mencuba sedaya upaya untuk memendekkan hayat Kerajaan Perpaduan.
“Selain daripada beberapa orang, majoriti menteri dan pemimpin PH tidak menjangkakan konspirasi Langkah Sheraton dan telah menjangka kerajaan untuk kekal sehingga ke akhir penggal lima tahun dan bukannya ditumbangkan selepas 22 bulan.
“Semua menteri dan pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan perlu sedar sepenuhnya yang ada personaliti dan kuasa-kuasa politik yang sedang mencuba untuk mengulangi konspirasi Langkah Sheraton untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan ini, sebolehnya supaya Kerajaan Perpaduan ini tidak bertahan setahun sekali pun,” jelasnya.
Kit Siang menambah, semua menteri dalam Kerajaan Perpaduan perlu sedar mengenai rancangan itu dan melaksanakan reformasi institusi secepat mungkin. – MalaysiaGazette