Siti Hamisah (tengah) bersama para akademik yang diiktiraf pada Majlis Penyampaian 'World Top 2% Scientists'

KUALA LUMPUR – Enam penyelidik dari Universiti UCSI tersenarai antara 2% saintis terbaik di dunia, menurut data terkini Stanford University, Amerika Syarikat.

Penyenaraian yang dikemas kini secara tahunan oleh Stanford University itu merupakan pengiktirafan yang diberikan kepada saintis dan ahli akademik paling banyak dipetik (most-cited) dari seluruh dunia.

Profesor Tersohor Ts Dr Ooi Keng Boon FASc (Dekan Pusat Pengajian Perniagaan Siswazah (GBS) dan Profesor Madya Dr Eric Chan Wei Chiang (Fakulti Sains Gunaan) diiktiraf atas sumbangan mereka sepanjang kerjaya dalam bidang perniagaan dan sains gunaan.

Sementara Profesor Tersohor Dr Phang Siew Moi FASc (Timbalan Naib Canselor, Pengajian Siswazah dan Penyelidikan), seorang pemimpin pemikir terkenal dalam biosains dan alga tersenarai atas sumbangannya sehingga akhir tahun 2021.

Turut tersenarai ialah ahli akademik dari GBS iaitu Profesor Madya Dr Garry Tan Wei Han, Profesor Dr Karuthan Chinna dan Penolong Profesor Dr Mehrbakhsh Nilashi.

Setiap profesor menerima geran istimewa berjumlah RM25,000 atas usaha mereka.

Naib Canselor Universiti UCSI, Prof Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir

Naib Canselor UCSI, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, universiti itu telah mencapai kemajuan yang baik dalam penyelidikan dan pihaknya akan terus bekerja keras untuk mempromosikan kepimpinan melalui pemikiran.

“Kami berbesar hati untuk mengiktiraf impak yang dicapai ahli akademik kami.

“Kami berharap perkara ini akan membakar semangat profesor muda kami untuk menonjol dalam bidang masing-masing,” katanya pada majlis pengiktirafan enam ahli akademik itu.

Ooi yang menerima pengiktirafan itu menyampaikan ucapan terima kasihnya kepada UCSI kerana menyediakan ruang yang baik untuk beliau akan terus melonjakkan prestasi.

“Kejayaan tidak akan mungkin dicapai tanpa sokongan dan dorongan berterusan daripada pihak Universiti.

“UCSI menyediakan sumber dan peluang yang baik kepada kami dan saya yakin ia akan terus cemerlang dalam akademik,” ujarnya.

UCSI kini tersenarai sebagai universiti swasta terbaik di Malaysia menurut QS World University Rankings 2023.

Ia juga diletakkan dalam kelompok 1% terbaik dunia selain menonjol sebagai salah satu universiti terkemuka dunia di bawah usia 50 tahun. -MalaysiaGazette