KUALA LUMPUR – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat E-Pembelajaran (PEP) giat memperkasakan sistem e-pembelajaran dalam ekosistem universiti sebagai usaha memastikan pendidikan inklusif dan berkualiti tinggi dapat dicapai oleh semua golongan masyarakat melalui pembelajaran sepanjang hayat.
Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, ini sejajar dengan misi UMS dalam membantu perkembangan intelektual, sosial dan ekonomi pemegang taruh UMS, iaitu para pelajar dengan memupuk persekitaran pengalaman pengajaran dan pembelajaran yang terbaik.
“Usaha ini dicapai dengan melengkapkan para warga kerja universiti dengan pengetahuan dan pengalaman terhadap kemudahan teknologi terkini.
“Sistem SmartV3 UMS misalnya terbukti menjadi tunjang kepada ekosistem pembelajaran teradun ketika pandemik apabila bertindak sebagai platform interaksi di antara pensyarah dan pelajar sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Majlis Perasmian Simposium Pembelajaran Teradun Gantian dan Pelancaran ITEL (Interactive, Innovative, Technology-Enable Learning) 4.0 di Galeri Majlis, UMS baru-baru ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof. Dr. Rasid Mail.
Jelas Kasim, pelancaran ITEL adalah naik taraf kepada sistem e-pembelajaran yang ada pada masa ini dengan penambahan pelbagai ciri baru dan lebih interaktif sebagai menyokong pembelajaran pada tahun-tahun mendatang.
Beliau berkata, UMS menyokong visi Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam mempromosikan saluran pendidikan percuma.
“UMS telah menjalinkan kerjasama dengan Commenwealth of Learning (COL) dan UNESCO bagi pelakanaan program-program Massive Open Online Courses (MOOC) dan OER.
“Kerjasama dengan COL yang dimeterai sejak 2018 banyak memanfaatkan UMS, antaranya banyak membantu dalam kajian dan merangka polisi berkaitan repositori OER di UMS, serta reka bentuk dan penghasilan MOOC di UMS,” katanya.
Tambahnya, Pembelajaran Teradun Gantian yang dilaksanakan juga adalah bagi memupuk kreativiti dengan menawarkan persekitaran pembelajaran atas talian yang lebih kondusif untuk semua.
“Justeru itu, saya menyeru para ahli akademik dan kakitangan pentadbiran untuk menyokong pelaksanaan Pembelajaran Teradun Gantian dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran di UMS.
“Platform ini akan menyokong usaha universiti dalam mendapatkan pengiktirafan global dalam bidang pengajaran dan penyelidikan,” ujar Kasim. -MalaysiaGazette