Mohamad Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menjawab persoalannya iaitu betulkah Majlis Pemulihan Negara (MPN) mendapat peruntukan khas yang jumlahnya beratus juta daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini kerana, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, Muhyiddin menjawab beliau menjadi Pengerusi MPN secara pro bono iaitu tidak mengambil satu sen pun gaji kerana tidak ada peruntukan.

”Sebab itu saya tanya betullkah MPN dapat peruntukan khas daripada PM. Iaitu dibelanja melalui kementerian tertentu?

”Saya pun tidak tuduh duit itu terus masuk ke akaun MPN. Muhyiddin mengaku dalam tik tok itu, kalau MPN nak belanja, kerajaan yang belanja melalui peruntukan kementerian terbabit.

”Ini sama macam peruntukan wakil rakyat. Bukan masuk akaun wakil rakyat. Wakil rakyat senaraikan perbelanjaan dan dihantar kepada Pejabat Daerah atau Pembangunan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” kata Puad.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri Rengit itu, sebab itu beliau bertanya ke mana wang tersebut dibelanjakan.

Adakah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun dapat sama?, soal Puad lagi.

Secara sinis, Puad berkata, bertanya pun dikatakan jahat.

”Kita tunggu pendedahan audit,” ujarnya.

Baru-baru ini Puad mempersoalkan ke manakah perginya peruntukan beratus juta ringgit untuk MPN kerana difahamkan Muhyiddin telah menerima peruntukan khas tersebut daripada Ismail Sabri yang menjadi perdana menteri ketika itu.

”Persoalannya, ke mana duit itu dibelanjakan? Adakah dibelanjakan untuk parti PPBM sahaja?” soalnya melalui hantaran di laman Facebooknya.

Puad berharap agar Muhyiddin tampil memberi penjelasan dan turut menggesa Jabatan Audit Negara membuat pendedahan.

Muhyiddin yang mengulas kenyataan Puad itu menyifatkan ia bersifat dangkal kerana MPN tidak menerima sebarang peruntukan mahupun elaun ketika beliau memegang jawatan berkenaan dalam kerajaan sebelum ini.

Beliau berkata, MPN adalah badan penasihat sahaja dan bukan eksekutif selain tiada peruntukan.

“Waktu saya memimpin pun saya jalankan tugas ‘pro bono’, tak ambil gaji satu sen. MPN ini badan advisory, dia bukan executive, tidak ada peruntukan,” jawab Muhyiddin. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Remsn dis baru boleh tau mana duit dibelanjakan. Setakat cakao kat tik tok aje tak selesai masalah. Diui mana?

Comments are closed.