Ketua Setiausaha Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh (tengah) ketika menyaksikan petukaran persefahaman memorandum antara Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Fusionex, Datuk Seri Ivan Teh (kanan) pada Majlis Seminar Kebangsaan Pengilangan Minyak Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Qualiti (POMREQ) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bagi menitikberatkan amalan pertanian terbaik di Malaysia, kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan membangunkan kilang sawit pintar.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, konsep kilang sawit pintar ini akan menggunakan konsep pembuangan sifar atau “zero discharge” kerana ia merupakan hala tuju industri sawit.

Jelas Fadillah lagi, langkah ini mampu memberi dimensi baharu dalam sektor pengilangan, terutama dari segi aspek kecekapan dan pemantauan operasi yang berterusan dan mesra pengguna.

“Dengan perkembangan dan permintaan produk mesra alam yang telah menjadi permintaan pasaran antarabangsa, saya menyarankan agar usaha untuk mengurangkan jejak karbon atau “carbon footprint” bagi produk sawit dititikberatkan.

“Malaysia komited dalam mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050,” kata Fadillah.

Ucapan Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi dibacakan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Datuk Zurinah Pawanteh sempena Seminar Kebangsaan mengenai Persekitaran dan Kualiti Penapisan Pengilangan Kelapa Sawit di ibu negara pagi tadi.

Dalam ucapan seminar tersebut, Fadillah berkata, MPOB telah membangunkan teknologi pemerangkapan biogas dan bekerjasama dengan pihak industri untuk meluaskan aplikasi biogas.

“Saya dimaklumkan bahawa mengikut data MPOB, setakat tahun 2021 terdapat 135 buah kilang sawit telah memasang sistem biogas iaitu 30 peratus dari jumlah kilang sawit sedia ada.

“Manakala, 15 buah kilang sedang dalam proses pembinaan dan 130 buah kilang sedang dalam proses perancangan untuk pemasangan sistem biogas.

“Saya berharap kilang yang belum mempunyai sistem biogas turut meningkatkan usaha untuk berbuat demikian. Tenaga boleh diperbaharui ini merupakan tenaga masa hadapan yang perlu dijadikan tumpuan untuk dibangunkan,” jelas Fadillah lagi.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam ketika bercakap pada sidang media selepas selesai Majlis Seminar Kebangsaan Pengilangan Minyak Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Qualiti (POMREQ) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2022.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, pembinaan kilang sawit pintar hasil inisiatif MPOB dengan kerjasama Fusionex Group.

Ia dijangka siap pada akhir 2024 dan mula beroperasi pada awal 2025.

Katanya, pembinaan kilang berkeluasan 10 hektar di Keratong, Pahang, dijangka mengambil masa kira-kira 18 bulan.

Konsep kilang ini dapat menghasilkan tenaga kerja mahir yang cekap dalam penggunaan sistem automasi dalam kilang sawit, menghasilkan minyak sawit mentah secara efektif dan produktif serta membangunkan teknologi pengurusan sisa buangan sawit yang mesra alam.

Kilang ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga kerja manual bagi pengambilan sampel bagi tujuan pengujian sehingga 30 peratus.

“Dari segi pengeluaran, kita jangkakan kadar perahan minyak dapat ditingkatkan sehingga 22-23 peratus iaitu melebihi 19-20 peratus kadar purata ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette