Foto Instagram Nad Zainal.

KUALA LUMPUR – Pelakon Nad Zainal dilaporkan sudah sedar diri dan sudah dipindahkan dari unit rawatan rapi (ICU) ke wad biasa, kata pengarah dan penerbit, Shahrulezad Mohammedin,

Beliau yang berkongsi perkembangan itu di laman Facebook miliknya turut memberitahu, Nad atau Farah Nadia Zainal Abidin, 32, juga sudah boleh berbual dan ketawa serta menunjukkan perkembangan positif sejak dimasukkan ke hospital akibat pendarahan dalam paru-paru.

“Untuk pengetahuan korang, keadaan Nanad (panggilan Nad Zainal) sekarang tersangatlah baik. Dia bukan lagi di ICU dan tidak di intubated.

“Malah, Nanad dah sedar. Dia juga sudah boleh berbual dan bergelak ketawa. Dia sudah boleh ke tandas sendiri walaupun kami melarang kerana paru-parunya masih belum kuat,” tulisnya.

Sementara itu, Shahrulezad menjelaskan dia jarang mengemas kini tentang keadaan rakan baiknya itu kerana bersimpati dengan ibu bapa aktres berkenaan.

Menurut pengarah itu lagi, dia bimbang setiap kali berkongsi tentang keadaan Nad, pasti ada cerita kurang enak tersebar yang membuatkan ibu bapa pelakon itu berasa risau.

Nad merupakan anak tunggal dan berita negatif yang tersebar cukup memberi kesan negatif kepada keluarganya.

“Sebab kenapa abam tak update lama tentang Nanad kerana abam kesiankan ibubapanya. Selain mengutamakn kesihatan Nanad, kesihatan mental kedua ibubapanya juga menjadi keutamaan kami.

“Abam perasan setiap kali update pasal Nanad akan wujud rantaian berita yang bukan-bukan. Ia sekali gus menyakitkan hati kami, terutamanya orang tua Nanad,” ujarnya.

Baru-baru, pelakon Ungku Ismail turut berkongsi perkembangan Nad yang dikatakan semakin baik.

Ungku juga memaklumkan, Tabung Kecemasan Nad Zainal yang dilancarkan sebelum ini sudah berjaya mengutip sebanyak RM270,000 hasil sumbangan orang ramai akan digunakan bagi tujuan perubatan aktres itu selain akan disedekahkan kepada golongan memerlukan. – MalaysiaGazette