Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Datuk Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman bergambar bersama wakil syarikat korporat yang membayar Zakat Perniagaan di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ – MAIWP) menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM44,818,157.89 daripada 26 buah syarikat korporat pada Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Everly di Putrajaya.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Datuk Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, pembayaran zakat perniagaan syarikat-syarikat korporat itu akan terus diserahkan kepada MAIWP untuk diagihkan kepada lebih 30,200 keluarga asnaf di Wilayah Persekutuan.

“Kami turut menawarkan Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat kepada syarikat-syarikat korporat untuk dimanfaatkan semula kepada kakitangan dan mereka yang memerlukan dengan kadar 37.5 peratus hingga 50 peratus,” katanya pada Majlis Zakat Korporat 2022.

Hadir pada majlis, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Abdul Aziz berkata, antara salah satu rahsia kejayaan syarikat-syarikat yang berjaya adalah dengan menunaikan zakat dan ia telah terbukti hari ini.

“Kesemua syarikat korporat yang hadir pada hari ini patut dijadikan organisasi contoh kerana bukan sahaja berjaya dalam perniagaan, malah turut berjaya melaksanakan ibadah zakat yang pastinya akan mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Pengerusi PPZ-MAIWP, Tan Sri Datuk Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman bercakap pada Majlis Zakat Korporat 2022 di Hotel Everly, Putrajaya, hari ini.

“Justeru itu, PPZ – MAIWP menyeru masyarakat Islam khususnya syarikat dan organisasi di Wilayah Persekutuan untuk menunaikan zakat perniagaan mereka di PPZ – MAIWP.

“Di samping itu berpeluang menerima Skim Wakalah atau pengembalian semula wang zakat untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang layak,” jelasnya.

Setakat Januari hingga November 2022, PPZ – MAIWP telah mengutip zakat perniagaan sebanyak RM102,690,824.40 dengan jumlah pembayar sebanyak 3,457 pembayar. -MalaysiaGazette