munafik politik tindak balas Paludan Khairuddin Abu Hassan
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kesal dengan puak ‘munafik politik’ dalam parti itu yang sentiasa menyanggah prinsip perjuangan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga mengecam dengan sikap mereka yang didakwa cuba menconteng arang di muka bekas Pengerusi Pejuang itu.

Khairuddin memberitahu, selama ini, golongan ‘munafik politik’ hanya bermuka-muka serta mengangguk kepala secara tidak ikhlas di hadapan Dr. Mahathir dalam mesyuarat.

“Tetapi di sebaliknya puak pengkhianat inilah yang sentiasa melawan keputusan yang dibuat secara konsensus pada peringkat tertinggi parti sepertimana yang dicadangkan oleh Dr. Mahathir.

“Kalangan hipokrit ini yang sentiasa melawan arus dengan Dr. Mahathir dan dalam masa yang sama, mereka cuba tutup kelemahan diri secara menuding jari pada orang lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mendakwa, bebanan kesalahan dan gerakan jahat mereka untuk menyanggah visi dan misi Dr. Mahathir sentiasa diputarbelitkan serta cuba diletakkan di atas bahu para penyokong setia bekas Perdana Menteri itu.

Khairuddin juga rela dilabel sebagai ‘Hang Jebat’ yang menderhaka walhal hakikatnya beliau yang sentiasa mempertahankan wadah perjuangan Dr. Mahathir secara kental dulu, kini dan selamanya.

“Golongan ‘munafik politik’ ini sedang putarbelitkan cerita dan menuduh kalangan yang menyokong kuat wadah perjuangan Dr. Mahathir sebagai cuba untuk

“Para parasit ini juga menuduh kononnya Datuk Marzuki Yahya, Abu Bakar Yahya dan saya adalah kalangan yang mempengaruhi Dr. Mahathir untuk membuat segala keputusan atau pendirian politik yang salah,” jelasnya.

Khairuddin menyarankan kepada puak ‘munafik politik’ serta pengkhianat terbabit untuk bertemu sendiri dengan Dr. Mahathir dan bertanya sendiri mengapa beliau meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang.

Beliau menambah, sudah sampai masanya untuk melawan secara terbuka segala pengkhianatan yang mereka amalkan secara ‘menikam di belakang’ Dr. Mahathir.

“Amaran keras kepada puak ‘munafik politik’ dan pengkhianat ini bahawa seandainya golongan ini cuba untuk mereka-cerita secara tidak berasas mengenai peletakan jawatan Dr. Mahathir selaku Pengerusi Pejuang maka saya akan cerita secara terperinci kepada keseluruhan rakyat apa yang sebenarnya berlaku bila masa ketikanya diperlukan,” katanya.

Khairuddin turut menasihatkan Ketua Pejuanita Pejuang, Datin Che Asmah Ibrahim agar berhenti berbohong dan jangan cuba menegakkan benang yang basah. – MalaysiaGazette