Gambar hiasan

KABUL – Penyeludup yang dibantu para pegawai kerajaan Afghanistan membawa wang beratus-ratus juta dolar Amerika Syarikat (AS) dan emas keluar daripada negara itu pada bulan-bulan terakhir pentadbiran terdahulu.

Pejabat Presiden Ashraf Ghani yang disokong AS dimaklumkan mengenai masalah tersebut, tetapi tiada tindakan diambil, lapor Business Insider seperti dipetik Afghanistan Times.

Menurut laporan itu, sebanyak AS$59.7 juta dalam bentuk tunai dan emas diseludup ke Uzbekistan menerusi Hairatan antara Januari hingga Mac 2021, namun dalam tempoh selama 13 bulan antara Mei 2019 hingga Mei 2020, jumlahnya adalah AS$824 juta.

Walaupun individu terbabit gagal mengisytiharkan wang yang dibawanya kepada pegawai Afghanistan ketika meninggalkan negara itu, kastam Uzbekistan merekodkan wang dan emas dalam borang kastam.

Rekod tersebut yang diperoleh para pegawai anti rasuah Afghanistan merupakan sebahagian daripada siasatan penyeludupan wang dan mereka mewujudkan laporan asas mengenai aliran pengeluaran tunai daripada negara itu.

Borang kastam Uzbekistan menunjukkan kebanyakan daripada wang tersebut menuju ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) di mana pegawai atasan Afghanistan melarikan diri apabila kerajaan negara itu tumbang pada tahun lalu.

Dokumen tersebut mendakwa bekas Timbalan Speaker Parlimen Afghanistan, Mirza Mohammad Katawazai telah mengarahkan sindiket penyeludupan dengan dibantu rangkaian pegawai perisik dan pengawal sempadan.

Mereka turut mendakwa bekas Gabenor wilayah Balkh, Atta Mohammed Noor memberi perlindungan keselamatan untuk penyeludup dan mengeluarkan ugutan kepada pesaing.

Hairatan terletak dalam wilayah Balkh. – Agensi