Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Selayang akibat serangan angin ahmar ringan pada Isnin lepas kembali semula ke lokasi tragedi tanah runtuh untuk beri semangat kepada anggota operasi dan menyelamat (SAR) di Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2022.

BATANG KALI – Tidak sampai beberapa jam selepas dibenarkan keluar dari Hospital Selayang hari ini, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis terus ke lokasi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, di sini.

Norazam berkata, beliau sihat dan keadaan kesihatannya sangat baik.

“Doktor yang memeriksa saya di hospital telah mengesan transient ischemic attacks dan lepas ni saya ada (pemeriksaan) susulan yang perlu diikuti atas nasihat doktor tetapi saya boleh keluar hospital hari ini.

“Kesihatan saya baik dan tidak perlu dirisaukan. Saya datang ke lokasi (tanah runtuh) untuk bertemu dengan anggota dan pegawai SAR untuk memberikan kata-kata semangat meneruskan pencarian.

“Terima kasih kepada semua kerana terus beri semangat kepada kami ,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Pada Isnin lalu, Norazam dimasukkan ke Hospital Selayang, dekat sini, kerana mengalami keletihan dan minor stroke.

Sementara itu, Norazam berharap baki tiga mangsa yang masih hilang dapat ditemui secepat mungkin.

“Ini adalah semangat daripada semua untuk terus berada di sini. Insya-Allah baki tiga lagi mangsa akan terus dicari sedaya upaya kami (petugas penyelamat),” ujarnya. – MalaysiaGazette