Keadaan trak tentera yang terjatuh di gaung di utara Sikkim, India. foto Free Press Journal

NEW DELHI – Seramai 16 tentera India maut dan empat lagi cedera selepas trak yang mereka naiki terbabas dari jalan raya dan jatuh ke dalam gaung di Lachen di utara Sikkim berhampiran sempadan India-China semalam.

Menurut pegawai kanan polis, mangsa yang cedera telah dihantar ke hospital Tentera di utara Bengal Utara.

Sumber berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8 pagi Jumaat, kira-kira 15 km dari Lachen, dan sekitar 130 km dari ibu negeri Gangtok.

Menurut laporan IANS, kenderaan tentera itu menuju ke pos sempadan dengan 20 orang penumpang.

Trak itu telah terbabas ketika sedang selekoh di kawasan Zema 3 dan terhumban ratusan kaki ke bawah.

Kesemua 16 mayat telah ditemui dari lokasi nahas.

Keadaan empat anggota Tentera yang cedera parah masih tidak diketahui. – Agensi