UMNO Bersatu Anwar Melayu
Mohd. Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan belum lagi mendapat sokongan padu daripada orang Melayu yang bukan sahaja kelompok bumiputera yang terbesar malah merupakan teras kestabilan politik Malaysia.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, sehingga pilihan raya tertunda di kerusi Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman baru-baru ini, sokongan orang Melayu terutamanya anak-anak muda masih bersama Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, dengan pengertian lain, kunci kestabilan politik Malaysia ada pada PN yang merupakan parti pembangkang.

“Diyakini, tanpa kunci kestabilan tersebut iltizam Anwar untuk melaksanakan agenda reformasi sukar untuk dicapai.

“Agenda untuk memberi keadilan kepada rakyat memerlukan usaha besar-besaran membanteras golongan monopoli, kartel, orang tengah, pemain ekonomi gelap, pemberi rasuah dan lain-lain.

“Sama ada disedari atau tidak, golongan-golongan inilah yang begitu bimbang PN/Pas dapat menerajui negara, justeru mereka kuat berpihak kepada lawan PN/Pas,” katanya dalam hantaran Facebook, malam tadi.

Mohd. Zuhdi memberitahu, sehubungan itu, agenda Anwar untuk memberi keadilan kepada rakyat boleh menyebabkan beliau hilang sokongan dari golongan monopoli, kartel, orang tengah, pemain ekonomi gelap, pemberi rasuah dan seumpamanya.

Beliau menambah, boleh jadi dalam pilihan raya negeri yang bakal berlangsung dalam tempoh enam bulan ini, PH akan kehilangan banyak sokongan.

“Mahu tidak mahu, satu hari nanti Anwar tetap memerlukan sokongan dari pihak yang berupaya membenteras golongan-golongan ini, iaitu PN/Pas,” jelasnya.

Secara keseluruhan, Mohd. Zuhdi berpandangan, tahap pencapaian Anwar dalam masa sebulan selepas menjadi Perdana Menteri adalah memuaskan meskipun pada peringkat awal beliau melakukan satu dua kegagalan.

“Kejayaan Anwar yang terbesar setakat ini ialah mewujudkan kestabilan politik setelah negara berhadapan dengan kemelut politik yang panjang sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya. – MalaysiaGazette