KUANTAN – Hampir tidak pernah kedengaran kejadian buaya menyerang manusia terutama kaki-kaki pancing di sungai di Pahang bukan seperti kawasan lain terutama di Sarawak.
Menurut pencari udang galah tegar di kawasan Sungai Belat di sini, reptilia itu biasanya sekadar menampakkan diri sama ada dari jarak jauh bagi ‘memaklumkan’ kewujudannya di kawasan sungai.
“Pernah buaya lebih 20 kaki atau enam meter ‘menumpang’ kepalanya atas bot ketika saya memancing udang kira-kira lima tahun lalu,” kata Mohd Rizan Mohamed Nor, 56.
“Ketika itu, saya memang takut tapi buaya itu tidak pula menunjukkan mahu menyerang atau ganas.
“Sebaliknya selepas beberapa minit ‘menumpang’ kepalanya, dia berlalu pergi. Selain itu ada juga buaya menampakkan dirinya secara tenggelam timbul sekitar Sungai Belat,” katanya.
Mohd Rizan yang hampir 29 tahun menyusuri sungai untuk mencari udang galah mengakui lebih 15 kali terserempak dengan buaya bersaiz besar di sungai terbabit.
Begitu juga dengan Mohd Hasrol Naim Hashim, 29, yang merupakan pemancing udang yang juga sering kali berdepan dengan kelibat reptilia karnivor itu ketika memancing.
Pelik tapi itulah kenyataannya, buaya di sungai-sungai Pahang tidak ganas namun langkah berhati-hati perlu diutamakan ketika berada di habitat semula jadi haiwan pemangsa itu.
“Ia kerana sifat semula jadi reptilia tersebut yang lazimnya akan bertindak ganas di luar jangkaan apabila berasa terancam disebabkan oleh kehadiran manusia,” ujarnya.
Difahamkan bukan sahaja buaya di Sungai Belat tetapi buaya di sungai di daerah lain juga dikatakan tidak ganas apatah lagi membunuh manusia.
Menurut kedua-dua mereka, senario itu selalu dikaitkan dengan kisah kononnya buaya di sungai-sungai di negeri itu ada perjanjian dengan Pawang Kader pada zaman dahulu.
‘Pawang Kader’ atau nama sebenar Abdul Kader Awang dikatakan memiliki ilmu menjinakkan haiwan berbisa serta juga pemangsa seperti buaya.
“Lihat seperti tidak masuk akal, tetapi jika mengikut cerita orang lama, itulah yang berlaku. Ada satu perjanjian dibuat oleh Pawang Kader selepas seorang Orang Asli dibaham buaya dan sempat menyelamatkan diri.
“Pawang Kader dikatakan telah memanggil buaya itu (dengan cara tertentu) dan dikatakan Pawang Kader telah menghukum buaya itu,” cerita Mohd Rizan lagi.
Menurut cerita yang berlaku sekitar tahun 1930-an itu, buaya kemudiannya mengikat satu perjanjian di mana buaya serta seluruh keturunannya tidak dibenarkan membaham manusia di sungai-sungai di Pahang.
“Untuk keadilan dalam perjanjian itu juga, manusia tidak akan membunuh buaya,” ujarnya yang menceritakan kisah mitos yang sampaikan orang tua sejak puluhan tahun lalu.
Namun kesahihan perkara itu tidak dapat dipastikan terutama melibatkan Pawang Kader yang juga dikatakan salah seorang pawang istana satu masa dahulu. – MalaysiaGazette
Merujuk tajuk Buaya Pahang tidak ganas… Bersyukur lah blm ada insiden buaya mengganas namun perlu hati2 juga bila habitat Raja Sulaiman kerap diceroboh spesis ini tidak memilih mangsa. Untuk penduduk yg tinggal mahupun yg mencari rezeki di tebingan sungai jangan lah terlalu yakin dgn buaya yg ada dipersekitaran sungai anda kena lah sentiasa berjaga-jaga. Pulihara lah alam sekitar kuta.