Razali Karim meninjau keadaan botnya di Jeti Sungai Miang, Pekan selepas banjir baru-baru ini

PEKAN – Para nelayan di daerah ini mengambil langkah untuk terus berwaspada jika berlaku lagi susulan banjir air pasang besar dan hujan lebat sepanjang musim tengkujuh ini.

Seorang daripada mereka, Razali Karim, 49 yang ditemui di Jeti Sungai Miang di sini memberitahu, banjir yang melanda daerah ini baru-baru ini hanya peringkat pertama.

“Harta benda, bot tiada yang rosak, Sebab (banjir) peringkat pertama. Mungkin ada lagi gelombang banjir akan datang.

“Tapi banjir baru-baru ini, saya lima sekeluarga diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selama lima hari sehingga 17 Disember,” katanya.

Razali Karim

Sudahlah tidak dapat turun ke laut untuk menangkap ikan, Razali juga perlu membersihkan rumahnya yang dinaiki air setinggi 3.75 meter dalam kejadian banjir pada minggu lalu.

Disebabkan tidak mampu menjana pendapatan ekoran musim tengkujuh, dia hanya menggunakan wang simpanan bagi menampung perbelanjaan mereka sekeluarga pada waktu ini.

“Masa banjir ni memang tak boleh ke mana, bersih rumah sahaja. Nak ke laut tak boleh, cuaca tak elok. Makan pun berjimat. Perbelanjaan pun menggunakan wang simpanan dan bantuan nelayan yang diterima,” luahnya.

Justeru, beliau bersyukur menerima khabar bahawa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sejumlah RM1 juta kepada nelayan terjejas banjir.

“Rasa bersyukur  termasuk dalam senarai penerima bantuan LKIM. Ringan sikit beban semasa musim tengkujuh ini,” katanya.

Begitu juga Bistamam Salleh, 42,  yang juga seorang nelayan pantai tradisional Zon A yang tersenarai sebagai penerima bantuan di bawah Skim Bantuan Bencana Alam LKIM.

Bistamam Salleh

Dia juga mengakui tiada jalan lain untuk memperoleh pendapatan ekoran cuaca buruk sejak November lalu.

“Tapi, nelayan di sini sudah melalui setiap tahun kejadian monsun ini, jadi kita buat simpanan awal. Jadi, kalau kita dapat bantuan daripada persatuan, LKIM, itu memang boleh membantu kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Bistamam, para nelayan pantai di sini hanya memperoleh sekitar RM1,200 sebulan bergantung kepada hasil yang diperoleh.

Namun, jika mereka tidak dapat turun ke laut, ada dalam kalangan nelayan yang menari alternatif lain seperti mencari ketam, udang dan ikan di sungai.

“Syukur alhamdulillah, kalau macam LKIM dapat bagi bantuan kepada nelayan macam kami, syukur sangat sebab dapat ringankan beban.

“Sebab kalau musim tengkujuh, hujan datang sekali banjir air pasang besar. Kalau dapat bantu nelayan ini kira bersyukurlah,” luahnya.

Semalam, Ketua Pengarah LKIM, Yusof Othman memberitahu bahawa bantuan secara one-off sebanyak RM500 hingga RM1,000 di bawah Skim Bantuan Bencana Alam akan diagihkan kepada 1,250 nelayan yang terkesan bencana banjir di seluruh negara.

Menurut Yusof, pemberian bantuan terbabit diharap dapat membantu para nelayan yang terjejas itu dan akan mengusahakan sebarang bentuk bantuan lain bagi meringankan beban mereka.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast