Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan air melibatkan 472 kawasan di lima wilayah terjejas akibat henti tugas dua loji rawatan air (LRA) sejak 24 Disember pulih sepenuhnya pukul 12 tengah malam tadi.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd mengucapkan terima kasih kepada pengguna atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

Pada Sabtu lalu, LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia, Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Berikutan insiden pencemaran bau itu ia menyebabkan sebanyak 472 kawasan di lima wilayah iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (196 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (27 kawasan) mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual. – MalaysiaGazette