Laila menunjukkan laporan polis dibuat Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka membuat berhubung dakwaan berlaku unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam sistem kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Melaka yang dikaitkan dengan pemimpin sebuah parti politik.

MELAKA – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka membuat laporan polis berhubung dakwaan berlaku unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam sistem kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri ini yang dikaitkan dengan pemimpin sebuah parti politik.

Ketua Wanitanya, Laila Norinda Maon berkata, dalam laporannya itu Putra Melaka menggesa pihak berkuasa menyiasat sekiranya berlaku rasuah dalam pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Menurutnya, ia susulan tular klip video berdurasi 5 minit 19 saat di laman sosial Facebook (FB) yang secara jelas mengaitkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dengan isu penyelewengan terbabit.

“Video berkenaan turut mendakwa duit dari Marris yang sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka untuk membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan mereka tetapi telah dilencongkan ke Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

“Tindakan itu kononnya dikatakan atas arahan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri (Ab Rauf) tanpa melibatkan sebarang perbincangan dengan pihak lain,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini malam ini.

Sehubungan itu, Laila yang juga Ahli Dewan Tertinggi (ADT) Putra memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius dakwaan daripada kandungan video terbabit.

“Sebagai anak jati Melaka dan mewakili Putra Melaka, kami membantah sekeras-kerasnya pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri sekiranya ia benar berlaku.

“PDRM dan SPRM harus mengambil tindakan undang-undang jika ia melibatkan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu petang tadi di Balai Polis Ayer Keroh dan siasatan lanjut masih dijalankan. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast