MELAKA – Melaka akan mewajibkan semula pemakaian pelitup muka di tempat awam seluruh negeri jika bilangan kes Covid-19 meningkat dalam tempoh dua minggu akan datang.
Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, kerajaan negeri mengambil maklum dan serius mengenai bilangan kes baharu Covid-19 yang semakin bertambah di seluruh negara ketika ini.
“Kami akan memantau dalam tempoh dua minggu ini jika penularan kes meningkat mendadak, kita tidak akan teragak -agak untuk menguatkuasakan semula undang-undang pemakaian pelitup muka di tempat tertutup dan di kawasan orang ramai.
“Sehubungan itu,kami memohon orang ramai sama ada rakyat negeri Melaka mahupun pelancong untuk memakai pelitup muka terutama di tempat-tempat umum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, individu yang masih belum mendapatkan suntikan dos penggalak dinasihatkan berbuat demikian sekaligus memastikan mereka tidak menjadi penyebar kepada virus pembunuh itu.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, dua varian Covid-19 utama dalam penularan penyakit itu di China iaitu BA.5.2 dan BF.7 telah dikesan di Malaysia.
Menurutnya, kedua-dua varian berkenaan dikesan dalam 80 peratus kes Covid-19 di China manakala di Malaysia setakat 31 Disember lalu, sebanyak 4,148 kes positif melibatkan BA.5.2 manakala tiga lagi kes adalah BF.7.
Kedua-dua varian BA.5.2 dan BF.7 dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan oleh bilangan kes yang tinggi di China. – MalaysiaGazette.