KISAH bermula dengan Puss in Boots menganjurkan pesta di rumah gabenor tanpa kebenarannya dan kemudian hadir pula satu gergasi yang terbangun dari tidur akibat
pesta itu. Gergasi tersebut terus ke rumah gabenor dan menyerang mereka. Puss berjaya menundukkan gergasi itu tetapi dia juga turut terkorban kerana dihempap oleh
sebuah loceng. Apabila tersedar, Puss dimaklumkan oleh seorang doktor bahawa dia hanya tinggal satu nyawa sahaja lagi kerana pernah mati lapan kali (kucing mempunyai 9 nyawa). Puss enggan mempercayainya tetapi kemudian akur kerana mula mengigati kesemua insiden yang telah meragut nyawanya sebelum ini. Kemudian dia pula diekori oleh seekor serigala bernama Big Bad wolf yang ingin mencabutnya. Ini membuatkan Puss lari ke daerah yang lain bagi menyelamatkan diri.
Masa berlalu dan Puss menjalani kehidupan sebagi kucing biasa. Puss juga mempunyai kenalan baru iaitu Perrito, seekor anjing yang menyamar sebagai kucing. Tetapi kehidupan barunya terganggu apabila Goldilocks dan Tiga Beruang muncul untuk mencarinya. Mereka perlukan Puss kerana ingin menjayakan satu misi mencuri peta ke Wishing Star dan peta itu kini berada di tangan Big Jack Horner. Setelah mengetahui rancangan tersebut Puss memutuskan untuk kembali menjadi dirinya sendiri. Seorang hero yang memakai kasut but dan handal bermain pedang. Tanpa membuang masa Puss sendiri ingin memiliki peta tersebut kerana menyedari dia boleh menggunakannya untuk kehidupan seterusnya.
Puss meneruskan misi barunya dan berjaya menceroboh masuk ke kilang Big Jack Horner untuk mencuri peta dan tanpa diduga bertemu pula dengan Kitty Softpaws. Kitty
merupakan musuhnya yang masih berdendam denganya ketika insiden di Santa Colombo. Kini Puss terpaksa bertarung dengan ramai musuh pula iaitu kumpulan Goldilocks, Big Jack Horner dan Kitty. Seperti biasa Puss berjaya dan melarikan diri dengan peta tersebut dan terus pergi ke Hutan Gelap. Di dalam Hutan Gelap Puss dan Kitty serta Perrito mula menyedari bahawa dimensi berubah menjadi landskap berbeza kepada sesiapa yang menyentuh peta itu.
Apabila Puss dan Kitty menyentuh peta, keadaan bertukar menjadi menakutkan dan apabila Perrito menyentuhnya keadaan menjadi tenang. Justeru mereka mengambil keputusan untuk menggunakan laluan dengan sentuhan Perrito kerana lebih aman. Setelah itu Puss mula mengambil peluang menerangkan keadaan sebenar hubunganya
dengan Kitty pada Perrito. Puss berkata ketika di Santa Colombo, dia telah meninggalkan gereja ketika majlis pertunangan dengan Kitty Softpaws. Peristiwa tersebut telah menghantui Puss dan berasa menyesal dengan perbuatanya.
Kitty yang kebetulan berada disitu telah mendengar perbualan tersebut dan dia juga turut berterus terang dengan menyatakan bahawa sebenarnya dia juga tidak datang ke
gereja tersebut kerana merasakan dia tidak akan dapat bersaing dengan seseorang yang menyayangi dirinya lebih daripada dia. Mereka berdua kemudiannya saling bermaafan dan berganding bahu untuk menjayakan misi tersebut. Di penghujungnya Puss, Kitty serta Perrito telah sampai ke tempat yang bernama Wishing Star. Tetapi adakah Puss berjaya dengan hajatnya? Ayuh kita ke panggung!
Antonio Banderas kembali sebagai watak utama di dalam Puss in Boots. Lontaran suaranya dengan dialek Sepanyol benar-benar hebat. Begitu juga dengan Salma Hayek
yang meminjamkan suara Kitty Softpaws. Watak Perrito pula dihidupkan oleh Harvey Guillén dan Florence Pugh untuk Goldilocks. Kesemuanya berjaya melontarkan suara dengan begitu hebat dan tidak kering gusi dibuatnya.
Oleh: Oleh: Rasfan Abu Bakar
Pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA)