Mohd Syafiq (tiga dari kanan) menyampaikan replika sumbangan kepada Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Al Haq Malaysia (Rumah Al Haq) sempena majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Syarikat milikan penuh Bumiputera, VFive Group mensasarkan untuk melipatgandakan pemberian sumbangan kebajikan sebanyak RM25 juta pada tahun ini selepas menyumbang sebanyak RM8 juta pada tahun lalu.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, sasaran tersebut akan membolehkan syarikat terus memperkasakan program yang berkonsepkan kebajikan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Katanya, usaha itu juga selari dengan kejayaan yang dicapai oleh syarikat berkenaan sejak ditubuhkan sedekad lalu bermula 2012.

“Aspek keberkatan dan sumbangan kebajikan sememangnya sudah menjadi teras terpenting dalam pembangunan syarikat VFive Group selama ini.

“Kita meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa sesungguhnya janji ALLAH SWT itu pasti, sekiranya lebih banyak kita memberi, maka lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan oleh-Nya. Sebab itulah kita letakkan fokus sumbangan ini sebagai salah satu daripada 10 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang kita ingin capai pada tahun 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan makan malam tahunan VFive Group, bertemakan ‘Night of New Decade’ di sini, malam tadi.

Majlis berkenaan diserikan dengan penampilan nyanyian khas oleh artis jemputan Fazli Zainal dan Datuk Amy Search.

VFive Group turut menyampaikan sumbangan kepada pelbagai pertubuhan.

Dalam pada itu Mohd Syafiq menjelaskan, penyaluran sumbangan RM8 juta pada tahun lalu dilakukan melalui saluran kebajikan syarikat iaitu Yayasan VFive.

Justeru, beliau berkata, pada tahun ini Yayasan VFive akan memperluaskan lagi pemberian bantuan tersebut termasuk menerusi Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki dan Sumbangan Bakul Makanan.

Kata beliau, pihaknya akan menambah program-program kebajikan seperti penyaluran bantuan banjir, bantuan bencana yang lain serta sumbangan kepada institusi agama seperti maahad tahfiz, surau dan madrasah.

“Selain itu, pelbagai lagi program pembangunan modal insan komuniti akan dilakukan untuk mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Shafiq berkata, majlis makan malam yang diadakan secara gilang-gemilang itu bertujuan memberi penghargaan kepada semua pemegang taruh, pembekal dan kakitangan yang bertungkus lumus memastikan segala sasaran yang ditetapkan pada tahun 2022 dapat dicapai.

“Diharapkan agar semua pihak dapat terus mendoakan kejayaan kami agar lebih banyak lagi manfaat dapat kami kongsikan bersama-sama kepada masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast