KUALA LUMPUR – Pelakon, Aeril Zafrel ‘panas’ apabila pertemuannya dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berhubung hasratnya membina sebuah masjid di Rengit, Johor dipolitikkan.
Ia kemudiannya menjadi bahan kecaman netizen.
Difahamkan, netizen yang rata-ratanya dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN) membuat kecaman itu berikutan sokongan yang diberikan oleh Aeril dan isterinya, Wawa Zainal dalam membantu kempen Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mereka meluahkan perasaan pada ruangan komen di bawah hantaran Mohd. Puad semalam berhubung pertemuannya dengan Aeril dan Wawa di sebuah hotel di Putrajaya.
Aeril menjelaskan, dia yang juga anak jati Rengit berjumpa dengan Mohd. Puad atas kapasitinya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan itu.
“Korang ni semua benda pun nak politikkan ke? Ingat macam korang ke, asal jumpa YB je nak melobi job!! Panas betul aku,” katanya dalam ruangan komen di bawah hantaran yang sama.
Sementara itu, Mohd. Puad menyatakan terkejut kerana ada netizen yang mengecamnya kerana minum petang dengan Aeril dan Wawa.
Menurut Mohd. Puad, hasrat Aeril itu bukan perkara baharu dan dirancang sebelum beliau menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tahun lalu.
“Peguam Aeril sudah berjumpa dengan ahli jawatankuasa masjid beberapa kali. Orang kampung memang mengharap dapat masjid baharu.
“Aeril mahu berjasa dengan orang kampungnya. Ia hasil titik peluhnya sendiri. Lagi pun orang lain juga akan dapat manfaatnya,” jelasnya bagi menjawab kecaman para netizen.
Beliau juga sanggup mengetepikan sentimen politik dalam isu amal jariah apatah lagi untuk membina masjid baharu.
“Kalau ia pun Aeril penyokong PN tetapi dia lebih tahu menghormati orang lain. Dia tahu saya ADUN BN tetapi dia jumpa saya untuk memudahkan urusan membina masjid tersebut,” katanya.
Mohd. Puad memberitahu, membina masjid melibatkan isu birokrasi dan peraturan, lebih-lebih lagi ia melibatkan wang jutaan ringgit.
“Sebab itu Aeril mahu kerjasama saya,” jelasnya.
Beliau berharap rakyat rakyat Malaysia lebih terbuka dalam isu amal jariah dan jangan dicampuradukkan dengan sentimen politik termasuk bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan Pusat kepada mangsa banjir di negeri-negeri pembangkang khususnya Kelantan, Kedah dan Terengganu.
“Sekali lagi terima kasih kepada Aeril dan Wawa. Allah jua yang akan membalas budi baik mereka berdua,” katanya. – MalaysiaGazette
UMNO lah yg paling juara dlm mempolitikkan semua benda kat Malaysia ni.Cuma parti melayu yg hampir “layu” ini,masih x sedar diri