Asisten komisioner Mohamad Farouk Eshak

AMPANG – Polis sambung reman pasangan suami isteri dari Serdang, Kedah yang ditahan bagi membantu siasatan kes letupan bungkusan yang mengakibatkan seorang pelayan restoran di Pandan Indah, Ampang maut dalam kejadian pada 29 Disember lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pasangan suspek warga tempatan berusia 33 dan 30 tahun itu disambung reman sehingga 17 JanuariĀ  ini bagi membantu polis melengkapkan siasatan kes.

“Mereka telah direman sejak 3 Januari lalu dan reman tamat hari ini.

“Namun, pagi tadi mereka dihadapkan semula di mahkamah di Ampang untuk permohonan perintah untuk menyambung reman kali kedua.

“Polis berjaya menerima perintah reman disambung selama tujuh hari lagi bermula esok sehingga 17 Januari ini ke atas kedua-dua suspek itu untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan ringkas sebentar tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelayan kedai makan maut selepas buka bungkusan misteri

Cemburu disyaki punca pelayan restoran mati dalam letupan bungkusan

Suami Isteri Direman 7 Hari Kes Letupan Bungkusan

Suspek dikatakan belajar buat bom dari Youtube

 

Pada 29 Dis lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

Berdasarkan keterangan ibu bapa mangsa di Serdang, berjaya menyerbu dan mencekup pasangan yang merupakan suspek yang disyaki melakukan jenayah itu.

Serbuan yang dilakukan di rumah pasangan itu pada 5 Januari lalu membawa kepada penemuan dan rampasan barang-barang seperti pisau pemotong kertas dan mercun bola yang digunakan suspek lelaki untuk menghasilkan bom buatan sendiri itu.

Suspek didapati berpengetahuan menghasilkan bom yang dipelajarinya daripada Youtube.

Mangsa disyaki menjalin hubungan sulit dengan isteri suspek.

Menyedari perbuatannya disedari suspek, mangsa difahamkan melarikan diri dan bekerja di Pandan Indah Ampang.

Suspek yang berjaya mengesan lokasi tempat kerja mangsa telah meletakkan bungkusan yang mengandungi bahan letupan buatan sendiri itu atas bonet kereta mangsa.

Suspek telah berada di lokasi kejadian dan menggunakan alat kawalan jauh untuk meletupkannya selepas mangsa menyentuh bungkusan misteri itu.

Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata,kejadian dipercayai berpunca daripada masalah peribadi antara mangsa dan suspek.

Setakat ini seramai 36 saksi telah diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.